PRK DUN Ayer Kuning pertandingan tiga penjuru antara BN, PN dan PSM

FOTO BERITA: Proses Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri N.48 Ayer Kuning, di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Merdeka Tapah, Perak. 12hb April 2025 (Sabtu)

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir; calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek; serta calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.

Pengumuman rasmi senarai calon yang layak bertanding dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori, pada jam 10.23 pagi, sejurus selepas proses penamaan calon ditutup pada jam 10.00 pagi di Dewan Merdeka, Tapah.

PRK ini diadakan susulan kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning selepas penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, 58, dari BN, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.

Antara yang hadir ialah Pengerusi BN merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Turut serta memberikan sokongan ialah pimpinan komponen Kerajaan Perpaduan, termasuk Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu; Timbalan Pengerusi DAP Pusat, Nga Kor Ming; dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chang Lih Kang.

Kehadiran barisan kepimpinan Kerajaan Perpaduan mencerminkan kesepaduan dan solidariti dalam menghadapi PRK kali ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 26 April 2025, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 22 April.

Kawasan DUN Ayer Kuning dijangka menyaksikan persaingan sengit dengan ketiga-tiga calon membawa agenda tersendiri dalam usaha memenangi hati pengundi berdaftar seramai 31,897 orang

Proses penamaan calon yang berlangsung di Dewan Merdeka, Tapah, pagi ini berjalan lancar dan terkawal. Sejak awal pagi, penyokong parti-parti bertanding mula membanjiri kawasan pusat penamaan calon bagi memberikan sokongan, namun keadaan kekal tenang dengan kawalan keselamatan rapi oleh pihak polis.