Sindiran karikatur jahat terhadap Anwar, Loke tiada nilai tambah, terpesong daripada isu sebenar
OLEH: Nga Kor Ming
Saya kesal dengan tindakan parti Perikatan Nasional yang menggunakan karikatur yang seolah-olahnya menyindir PM Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Anthony Loke.
Tindakan ini bukan sahaja tidak wajar, malah mencerminkan pendekatan politik yang sangat tidak matang.
Sindiran melalui karikatur sebegini yang berniat jahat tidak membawa sebarang nilai tambah kepada pembangunan negara, malah cuba memesongkan tumpuan daripada isu sebenar yang perlu kita atasi bersama seperti perang tariff Trump.
Sebagai parti politik yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, kita percaya bahawa perdebatan politik harus berteraskan dasar, pelan pembangunan serta cadangan penambahbaikan, bukannya mempermainkan individu dengan cara yang kebudak-budakan serta memperalatkan ugama dan kaum sebagai modal murahan.
Pakatan Harapan komited dan cakna untuk memberi sokongan penuh kepada Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil Ayer Kuning bagi memperkukuh hubungan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara dan pembangunan negeri Perak selaras dengan wawasan Perak Sejahtera 2030.
Negara kita memerlukan politik yang membina, bukan membinasa.
NGA KOR MING ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan timbalan pengerusi kebangsaan DAP.