Bukan nak ‘back up’ kerajaan tetapi melugai dengan perangai hampa semua
Seorang aktivis politik menempelak bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin yang mengatakan beliau tidak terlibat dalam isu pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru.
Aktivis Zulhazmi Shariff menjawab persoalan mengapa Mahiaddin dipersalahkan, mendakwa ia dimulakan sendiri oleh pembangkang yang menyalahkan pentadbiran sekarang sedangkan kejadian berlaku ketika Mahiaddin dan Tan Sri Annuar Musa sebagai Menteri Wilayah Persekutuan waktu itu mengetuai Putrajaya.
“Kenapa Mahiaddin dipersalahkan sedangkan beliau sebutkan bukan beliau yang terlibat? Jawapannya mudah!
“Ianya kerana sekarang ini ada pihak khususnya yang ketika itu bersama Mahiaddin, bersama Annuar Musa di dalam Jemaah Menteri telah menyalahkan pentadbiran sekarang!
“Kenapa pentadbiran sekarang yang disalahkan sedangkan kejadian berlaku ketika Mahiaddin dan konco-konconya termasuk Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mentadbir negara?,” katanya di Facebook.
Zulhazmi berkata, beliau boleh bersetuju bahawa pengambilan tanah Kampung Sungai Baru tidak melibatkan Mahiaddin kerana sememangnya ianya di bawah Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan.
Tetapi beliau mengingatkan kembali bahawa pengambilan tanah berlaku di waktu pentadbiran Presiden Bersatu itu.
Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan ketika itu adalah Annuar Musa yang dilantik sendiri oleh Mahiaddin.
Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan juga di bawah Kerajaan Persekutuan yang mana terus di bawah Ketua Setiausaha Negara yang juga di bawah Perdana Menteri.
“Isunya di sini ialah kamu yang buat, kamu salahkan orang dan gelar orang zalim! Itu duduknya. Aku sudah tulis berkaitan isu ini pada 26 Mac 2025 dengan tajuk adil.
“Mudahnya gini saja. Tanah diambil melalui Akta Pengambilan Tanah 1960. Warta dikeluarkan pada 21 Jun 2021. Nilaian pampasan dibuat oleh agensi kerajaan ketika itu. Wajar atau tidak, itulah nilaian kerajaan ketika itu.
“Pemilik tanah bantah dan protes ketika proses itu berlaku. Kenapa waktu itu Tuan Ibrahim, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Datuk Seri Dr. Shamsuri, Zaharudin Ayam tidak bersuara?
“Kenapa apabila kamu pembangkang, kamu turun menjadi hero kononnya mempertahan tanah yang kamu sendiri lunyaikan? Kenapa sekarang membela kononnya kezaliman yang kamu sendiri lakukan?,” katanya lagi.
Kata Zulhazmi, respon yang dikeluarkannya ini bukan untuk mempertahan kerajaan, sebaliknya beliau muak dengan perangai ahli politik di negara ini.
“Ini bukan untuk back up kerajaan sekarang. Cuma rasa melugai dengan perangai, menyampah dengan gaya politik di negara ni. Dan tak faham dengan “mangsa” yang sanggup diperguna.
“Hangpa tau depa tu yang buat. Depa tu punya angkara. Hangpa panggil dan layan depa macam hero. Patutnya bila depa mai hangpa halau dengan cangkul,” ujarnya.
BACA JUGA Mahiaddin jawab Tuan Ibrahim: Saya tak terlibat