Dr Hafidzah desak kerajaan Kelantan tangani segera kes rogol, sumbang mahram

Adun Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim mendesak agar kerajaan negeri Kelantan segera menangani gejala dan jenayah seksual di negeri itu susulan pendedahan membimbangkan mengenai peningkatan kes rogol.

Beliau mencadangkan sekurang-kurangnya enam solusi yang perlu dilakukan kerajaan negeri, di mana beliau melihat sudah tiba masanya untuk Kelantan meningkatkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun.

“Mungkin sudah tiba masanya Kelantan menerima usaha meningkatkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun bagi membantu meningkatkan perkembangan potensi dan pendidikan formal kanak-kanak perempuan dan lelaki,” katanya dalam satu kenyataan.

Kedua, Dr Hafidzah menyarankan agar peruntukan kewangan yang secukupnya diberikan sebagai tanda komitmen kerajaan dalam menangani gejala seksual ini termasuk memberikan geran dan bantuan kepada pihak badan bukan kerajaan seperti Raudhah Sakeenah Kelantan yang menyediakan khidmat bimbingan dan pemulihan bagi remaja yang terjebak dalam gejala ini.

Selain itu, meningkatkan peranan Jawatankuasa Tindakan Menangani Gejala Sosial termasuk Jenayah dan Jenayah Seksual.

Seterusnya, meningkatkan keberkesanan pendidikan seksual dan reproduksi remaja oleh agensi kerajaan seperti Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),  Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan juga Jabatan Hal Ehwal Agama.

Pastikan penguatkuasaan Undang-undang berkaitan jenayah seksual termasuk Kanun Keseksaan, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak, Akta Keganasan Rumah Tangga,Akta Anti ganguan seksual, dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Pornografi dan dadah sudah dikenalpasti sebahagian puncanya. Kita perlu bersatu memerangi pornografi dan dadah melalui pelbagai cara advokasi dan perundangan,” katanya.

Terdahulu Ketua Polis Kelantan mendedahkan sebanyak 252 kes rogol direkodkan pada tahun 2024 berbanding tahun sebelumnya iaitu 206 kes.

Pada tahun ini sahaja dari Januari hingga Mac, kes rogol meningkat 15.6 peratus jika dibandingkan tempoh yang sama pada 2024.

Pihak berkuasa mendedahkan sebanyak 98 peratus kejadian rogol yang dilaporkan adalah suka sama suka.

“Sangat membimbangkan kerana kes-kes ini juga melibatkan sumbang mahram antara ahli keluarga.

“Kalau 98% adalah suka sama suka kita perlu bertanyakan soalan sama ada anak-anak remaja kita ini tahu atau tidak batasan antara yang benar dan yang sebaliknya dalam kehidupan,” kata Dr Hafidzah lagi.

BACA JUGA Semua barangan Trump rupanya Buatan China