Orang Sabah jelaskan kenapa Samsuri ‘ditahan’ di KKIA Sabah
OLEH ADRIAN LIM CHEE EN
Sebagai urang Sabah, mari saya jelaskan kenapa Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar “ditahan” di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Ketika Persekutuan Malaysia dibentuk pada tahun 1963, Sabah dan Sarawak dijanjikan beberapa kuasa autonomi seperti autonomi bahasa, autonomi agama dan sebagainya.
Kuasa-kuasa autonomi Sabah dan Sarawak ini termasuk autonomi imigresen dan disenaraikan di bawah “20 Points Agreement” (Sabah) dan “18 Points Agreement” (Sarawak).
Ini bererti, walaupun imigresen merupakan kuasa Kerajaan Persekutuan, kuasa imigresen di Sabah dan Sarawak adalah di bawah kuasa Ketua Menteri Sabah dan Ketua Menteri Sarawak (sekarang Premier).
Sebab itu, semasa orang Semenanjung ke Sabah atau Sarawak, imigresen Sabah atau Sarawak akan bagi satu slip yang membolehkan orang Semenanjung berada di Sabah atau Sarawak untuk suatu tempoh tidak melebihi 30 hari.
Begitu juga keadaannya sekiranya orang Sabah ke Sarawak, atau orang Sarawak ke Sabah.
Orang Sabah ke Sarawak, tertakluk di bawah kuasa imigresen Ketua MenteriSarawak. Orang Sarawak ke Sabah, tertakluk di bawah kuasa imigresen Ketua Menteri Sabah.
Mudah kata, ibarat ada tiga imigresen lah.
1. Imigresen Semenanjung di bawah Kerajaan Persekutuan.
2. Imigresen Sabah di bawah Ketua Menteri Sabah.
3. Imigresen Sarawak di bawah Ketua Menteri Sarawak (sekarang Premier).
Jadi kenapa Samsuri “ditahan” kerana dilabel di bawah status ‘Travel Control Office/Order’ (TCO)?
Samsuri bukannya ditahan oleh PDRM. Ingat.
Samsuri “ditahan” oleh Imigresen Sabah.
PDRM dan Imigresen adalah unit yang berbeza.
Saya jangka, Imigresen Sabah cuma meminta Samsuri menunggu sebentar kerana nampak status TCO PDRM Samsuri, dan imigresen Sabah tidak kenal beliau.
Penjawat awam Sabah tahu Samsuri ialah VIP, cuma mereka tidak kenal siapa VIP ini. Ye lah, Samsuri bukan PM, Samsuri bukan Menteri Persekutuan.
Jauh-jauh di Terengganu, Samsuri ingat seluruh Malaysia termasuk di Sabah Sarawak kenal dia ke?
Maka sebagai langkah SOP, penjawat awam cuma minta VIP dari Terengganu ini menunggu sementara imigresen check siapakah VIP ini.
Gambar Samsuri bersilang kaki dan memicit telefon di ruang terbuka membuktikan perkara ini.
Samsuri tidak digari.
Samsuri tidak dkepung.
Samsuri tidak dilayan seperti penjenayah.
Samsuri tidak dihalang masuk.
Samsuri cuma diminta menunggu sebentar, sementara penjawat awam melaksanakan tanggungjawab mereka.
Jadi isu ini bukan isu.
Sekiranya Samsuri berhasrat menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti, kuasa autonomi Sabah Sarawak adalah perkara asas yang patut Samsuri ketahui.
Ingat. Persekutuan Malaysia bukan Semenanjung Malaysia sahaja. Persekutuan Malaysia dibentuk oleh Semenanjung Malaysia + Sabah + Sarawak.
PN boleh memainkan sentimen agama dan kaum di Semenanjung, tetapi sentimen ini tidak berkesan sama sekali di Sabah Sarawak.
Mungkin ini juga sebabnya sejak 1957/1963, Pas tidak pernah memenangi walau satu pun kerusi DUN atau Parlimen di Sabah Sarawak.
Masuk semua pilihan raya sejak 1957/1963, bungkus makan telur dalam semua pilihan raya.
Ketidakfahaman Samsuri tentang kuasa autonomi inilah antara sebabnya kami di Malaysia Timur bilang…… “Pas tidak relevan di Sabah Sarawak”.