Pemilihan PKR: Adam Adli kalah di Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar menang
Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menepati ramalan memenangi jawatan Ketua Cabang PKR Hang Tuah Jaya.
Shamsul Iskandar memperoleh 1,995 undi menewaskan penyandang jawatan berkenaan, Mohd Rafee Ibrahim yang mendapat 736 undi.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim gagal dalam cubaannya merebut jawatan Timbalan Ketua Cabang itu.
Beliau hanya mampu meraih 791 undi berbanding pencabarnya, Zamzizul Nordin yang mendapat 1,905 undi.
Pemilihan kepimpinan PKR bagi Cabang Hang Tuah Jaya turut menyaksikan Lee Kah Kim memenangi jawatan Naib Ketua apabila memperoleh 2,064 undi, manakala pencabarnya, David Ong Wai Leong mendapat 646 undi.
Keputusan berkenaan menunjukkan pasukan Shamsul Iskandar berjaya menyapu bersih jawatan tertinggi parti cabang terbabit, sekali gus menunjukkan kempen menerusi moto ‘Keadilan Memimpin’ menang cemerlang pada pemilihan kali ini.
Mengulas kemenangan itu, Shamsul Iskandar berkata, ia satu kemenangan manis kerana Hang Tuah Jaya adalah tempat bermulanya beliau diangkat sebagai Ahli Parlimen dan bergiat aktif dalam politik di Melaka.