Kerajaan Selangor tawar 100 rumah sementara dengan sewa RM850 sebulan

Kerajaan Selangor mengambil tindakan pantas dengan mengumumkan satu lagi bantuan kepada penduduk Putra Heights yang terjejas iaitu penawaran 100 unit rumah sewa sementara dengan kadar RM850 sebulan.

Rumah Sewa itu terletak di Pangsapuri Sri Suria, Kota Warisan, Sepang.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah, kadar sewaan ditawarkan itu termasuk yuran penyelenggaraan untuk tempoh enam bulan.

Ia juga merupakan unit baharu yang belum pernah diduduki.

“Inisiatif berkenaan antara langkah segera kerajaan negeri bagi memastikan kebajikan mangsa terus terbela.

“Unit sewa sementara berkenaan berkeluasan 1,100 kaki persegi dan dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik mandi serta kemudahan asas seperti kipas, lampu dan *grill*.

“Surat tawaran akan dikeluarkan serta-merta dalam tempoh sehari dan penyerahan kunci dijangka dibuat dalam masa dua hari selepas itu,” katanya pada sidang media selepas Sesi Taklimat Tawaran Rumah Sementara (RSKu) di perkarangan Masjid Putra Heights, hari ini.

Mengulas lanjut, Borhan berkata, tawaran tersebut terbuka kepada semua penduduk yang terkesan tanpa mengira sama ada mereka pemilik rumah atau penyewa.
Namun, jelas beliau, tawaran berkenaan adalah berdasarkan konsep siapa cepat, dia dapat.

“Daripada 396 kediaman yang dikenal pasti terjejas, sebanyak 295 unit adalah milik sendiri manakala 101 unit lagi didiami penyewa.

“Kerajaan negeri turut bekerjasama dengan pemaju Sime Darby Property Berhad yang menawarkan 66 unit hartanah untuk disewa atau dibeli oleh penduduk terjejas pada kadar harga insentif,” katanya.

Katanya, unit yang ditawarkan membabitkan projek di Serenia City, Sepang dan Bandar Bukit Raja 2, Klang, termasuk rumah teres dua tingkat dan rumah jenis berkembar dengan keluasan antara 750 hingga 2,092 kaki persegi.

“Sebanyak 10 unit di Serenia City ditawarkan untuk disewa pada harga RM1,800 sebulan lengkap dengan kelengkapan asas seperti peti sejuk, kipas dan lampu.

“Manakala selebihnya ditawarkan untuk jualan pada harga bermula RM793,888 hingga RM924,888,” katanya.