Patutlah Sultan Pahang ‘naik darah’, ini sebabnya
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan tanah di negeri ini tidak diceroboh sewenang-wenangnya dan tindakan sewajarnya harus dikenakan kepada mereka yang terlibat.
Baginda turut bertitah supaya rakyat menjadi ‘mata dan telinga’ baginda dalam menyalurkan maklumat mengenai isu pencerobohan tanah di negeri ini.
“Jangan bagi orang menceroboh tanah negeri Pahang ini. Saya pun naik darah juga banyak orang ceroboh tanah.Sudah sampai masanya kita berkeras dengan mereka (penceroboh).
“Jagalah negeri dan bumi Pahang ini sebaik mungkin,” titah baginda di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut semalam yang dimuat naik di laman Facebook Kesultanan Pahang.
Namun, baginda bertitah agar isu pencerobohan tanah itu diselesaikan dengan baik dan segala kekurangan diatasi secara harmoni.
Terdahulu, operasi penguatkuasaan di kebun durian di Raub telah menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat apabila pekebun tidak puas hati kerana tanaman mereka dimusnahkan.
Dalam pada itu, kerajaan Pahang menafikan telah melanggar perintah mahkamah dengan menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King dalam operasi penguatkuasaan di Sungai Klau, Raub pada 8 April lalu.
Operasi penguatkuasaan berkenaan disertai antaranya polis dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, (UPNP).
Tindakan tegas terbabit meliputi semua kawasan penanaman yang telah diteroka tanpa kebenaran di Raub serta dijangka dilaksanakan hingga 3 Mei ini.
BACA JUGA Aaron-Wooi Yik dapat ucapan tahniah dari TPM Ahmad Zahid, Hannah