Pak Lah yang ku kenali
Oleh Datuk Puad Zarkashi
Saya amat berdukacita dengan pemergian Pak Lah. Insan yang istiqamah keluhuran budi pekertinya terhadap kawan dan lawan terutama dalam dunia politik.
Pak Lah seorang pemimpin yang berperwatakan lengkap tidak sahaja sebagai ahli politik tetapi juga agamawan yang dihormati.
Saya hanya mula berkenalan dan dapat mendampingi Pak Lah apabila saya menjadi Presiden Kelab UMNO UK & Eire pada tahun 1996. Ketika itu Pak Lah Menteri Luar. Dia sanggup datang ke program kami di Edinburgh UK walaupun hanya dihubungi melalui panggilan telefon.
Dari situ persahabatan kami berterusan sehinggalah saya balik Malaysia jadi Setiusaha Eksekutif UMNO Johor, Ketua Bahagian, Senator, MP Batu Pahat, Timbalan Menteri dan ahli MKT UMNO.
Pak Lah dikenali sebagai pemimpin yang tidak berdendam walaupun ada kalanya saya mengkritik Pak Lah termasuk dalam isu menyediakan pelan peralihan kuasa dalam UMNO pada tahun 2008.
Ketika menjadi ahli parlimen biasa selepas tahun 2009 Pak Lah sering memberi pandangan dan nasihat apabila kami bertemu dan berbual di Parlimen.
Apabila mendapat perkhabaran pemergian Pak Lah , saya terhiba seketika. Banyak jasanya kepada UMNO sebagai Presiden parti dan kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum sebagai Perdana Menteri.
Pada saya sukar mencari seorang pengganti yang memiliki perwatakan seperti Pak Lah. Dia tidak berdendam, tidak mengeluarkan kata kata kesat apatah lagi memaki hamun lawan pokitiknya.
Semoga Allah mencucuri rahmat terhadap roh Pak lah, diampuni dosanya dan dimasukkan ke dalam Syurga Allah.
Puad Zarkashi ialah ahli Majlis Tertinggi Umno, Speaker DUN Johor dan Adun Rengit.