Penangan tarian ‘wadidaw’, pelajar dibuli siap kena cekik

Dipaksa menari tarian ‘wadidaw’ yang tular di media sosial selain dicekik kerana berambut panjang.

Itu dialami seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah berasrama di Bera sehingga bapa mangsa berkenaan membuat laporan berhubung kejadian itu pada 13 April lalu.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, siasatan awal mendapati, semasa kejadian berlaku, pelajar tingkatan satu hingga tingkatan tiga telah dipanggil ‘roll call’ atas arahan warden asrama bagi tujuan pemeriksaan bilik oleh Persatuan Jabatan Penguasa Asrama (JPA).

“Namun, suspek yang melibatkan lima pelajar telah mengambil alih ‘roll call’ dan bertindak membuli mangsa dengan memaksa mangsa menari ‘wadidaw’ iaitu tarian tular di media sosial,” katanya, dipetik Kosmo!

Beliau berkata, permohonan untuk menjalankan siasatan telah dibuat pegawai penyiasat di Pejabat Pendakwa Raya dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Polis memandang serius kejadian buli di sekolah terutamanya melibatkan sekolah berasrama.

“Polis juga akan sentiasa bekerjasama rapat dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bera bagi membanteras gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah,” kata beliau lagi.

BACA JUGA: Ramai terkejut profesor kehormat tergamak hina PM, universiti mana tu?