Pengakap perlu kembali ke landasan asal demi generasi muda – Nazhan

FOTO BERITA: Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perak (PPMNg Perak) kini berada di ambang perubahan apabila semakin banyak suara daripada ahli serta mantan pemimpin yang mendesak agar pentadbiran organisasi itu menjalani pembaharuan menyeluruh berteraskan ketelusan dan integriti. Foto: Facebook Nazhan Fauzi

Muhammad Nazhan, mantan Sekretariat Pengakap Kelana Negeri Perak, berkata beberapa isu pentadbiran yang tidak diurus dengan baik telah menggugat kepercayaan terhadap organisasi yang selama ini dikenali sebagai platform utama dalam melahirkan pemimpin muda berkaliber.

“Pengakap bukan sekadar aktiviti kokurikulum – ia medan pembentukan karakter anak muda yang menekankan aspek kepimpinan, disiplin dan tanggungjawab. Namun, pentadbiran semasa berdepan cabaran ketara dari segi ketelusan serta komunikasi dengan ahli,” jelas beliau.

Antara isu utama yang dibangkitkan termasuk pengurusan kewangan yang tidak dibentangkan secara terperinci dalam mesyuarat utama serta budaya kepimpinan yang dilihat enggan menerima teguran dan cadangan secara terbuka. Keadaan ini dikhuatiri akan menjejaskan pertumbuhan organisasi serta menurunkan keberkesanan program yang dirancang untuk manfaat belia negeri ini.

Nazhan menambah, Pengakap Kelana Negeri Perak masih mempunyai potensi besar dalam memperkasa generasi muda, namun matlamat tersebut hanya mampu dicapai melalui sistem pengurusan yang lebih terbuka, profesional dan berpaksikan kepentingan bersama.

“Saya percaya, dengan pembaharuan konstruktif dan sikap keterbukaan dalam pentadbiran, Pengakap Negeri Perak mampu kembali ke landasan yang betul serta kekal relevan dalam melahirkan pemimpin masa depan negara,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru agar pihak berkaitan mengambil serius perkara ini demi memastikan kesinambungan dan kecemerlangan Persekutuan Pengakap di Negeri Perak.