Istiadat Pengebumian Negara buat Allahyarham Tun Abdullah Badawi

Allahyarham Tun Abdullah Badawi akan diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara, umum kerajaan.

“Jenazah akan dibawa ke Masjid Negara, Kuala Lumpur pada jam 8.00 pagi bagi pengurusan jenazah dan penghormatan terakhir akan diadakan di Dewan Solat Utama, Masjid Negara bermula jam 11.00 pagi hingga 1.00 tengah hari.

“Jenazah akan disembahyangkan selepas solat Zohor di Masjid Negara dan seterusnya dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur,” umum Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan.

Ia turut mengumumkan kod pakaian untuk masyarakat yang akan memberikan penghormatan terakhir kepada allahyarham.

“Pakaian bagi pelawat lelaki Islam adalah Baju Kebangsaan warna hitam, bersamping hitam tanpa sebarang corak dan bersongkok hitam manakala bagi bukan Islam adalah Lounge Suit gelap.

“Pakaian bagi pelawat wanita Islam adalah baju kurung/kebaya labuh warna gelap dengan selendang/tudung putih manakala bagi bukan Islam pakaian sopan warna gelap dan berselendang putih.

“Selain itu, pakaian lain yang bersesuaian juga boleh dipakai.

Jalur Gemilang akan dikibarkan separuh tiang di semua bangunan dalam lingkungan 2 kilometer daripada Masjid Negara.

Tun Abdullah kembali ke rahmatullah pada jam 7.10 petang semalam.

BACA JUGA: Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggal dunia