FOTO BERITA | RM965,000 terkumpul Sumbangan Tabung Bantuan Bencana mangsa letupan paip gas – DAP

FOTO BERITA: Majlis Pemberian Sumbangan oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) melalui YBM Anthony Loke, Setiausaha Agung DAP dan YB Tuan Ng Sze Han, Pengerusi DAP Selangor penyerahan Tabung Bantuan Bencana untuk mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights di LRT Putra Heights Subang Jaya, Selangor. 14hb April 2025 (Isnin)

Parti Tindakan Demokratik (DAP) hari ini mengadakan majlis penyerahan sumbangan Tabung Bantuan Bencana kepada mangsa letupan paip gas bawah tanah yang berlaku di Putra Heights baru-baru ini. Majlis tersebut disempurnakan oleh YB Anthony Loke, Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Pengangkutan, bersama YB Tuan Ng Sze Han, Pengerusi DAP Selangor.

Dalam ucapannya, YB Anthony Loke memaklumkan bahawa tabung bantuan tersebut telah ditutup selepas berjaya mengumpul sebanyak RM965,539.44 dalam tempoh seminggu. Dana tersebut merupakan hasil sumbangan orang ramai, syarikat swasta serta pertubuhan masyarakat sivil yang prihatin terhadap nasib penduduk yang terjejas.

“Tabung ini dilancarkan sejurus selepas tragedi berlaku sebagai usaha segera untuk membantu penduduk setempat membina semula kehidupan mereka. Seramai 57 penduduk mengalami kerosakan total lost dan 339 lagi mengalami kerosakan separuh,” katanya.

Menurut beliau, bantuan yang disalurkan adalah sebanyak RM5,000 kepada setiap kediaman yang musnah sepenuhnya, manakala RM2,000 diberikan kepada rumah yang mengalami kerosakan sekitar 50 peratus.

Majlis penyerahan sumbangan berlangsung di kawasan LRT Putra Heights, Subang Jaya dan turut dihadiri oleh wakil penduduk serta sukarelawan yang terlibat dalam operasi bantuan.

Sementara itu YB Ng Sze Han dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang serta memberi sokongan dalam usaha membantu mangsa tragedi.

“Semangat solidariti dan kebersamaan yang ditunjukkan oleh masyarakat amat dihargai. Ini membuktikan bahawa kita boleh bangkit bersama apabila dilanda musibah,” tambahnya.

DAP berharap bantuan ini dapat meringankan beban mangsa serta mempercepatkan proses pemulihan kehidupan mereka.


