Selepas 12 tahun, Presiden China kini kembali bertandang tiga hari di Malaysia
Selepas kunjungan rasmi terakhir pada 2013, Presiden China, Xi Jinping tiba di Malaysia hari ini untuk mengadakan lawatan negara selama tiga hari.
Lawatan atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim kali ini menyaksikan pesawat khas yang membawa Xi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6.30 petang tadi.
Turut hadir menyambut ketibaan dan delegasinya ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.
Xi kemudian memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Leftenan Mohamad Nafis Norshid.
Turut dipersembahkan gabungan irama gendang tradisional Melayu, Cina, dan India oleh Akademi Arjunasukma dari Gombak.
Selain itu, kumpulan pancaragam yang terdiri 32 ahli dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua, Kajang turut mempersembahkan lagu “Lenggang Kangkung.”
Malaysia dan China yang telah menjalinkan hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974 telah meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada tahun lalu.
Selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009, China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia.
BACA JUGA: Ramai terkejut profesor kehormat tergamak hina PM, universiti mana tu?