5 institusi punca bilangan penjawat awam melonjak lebih 100% di Terengganu
Kerajaan Pas di Terengganu telah membentuk sekurang-kurangnya lima institusi penting di negeri itu bagi mempastikan parti itu kekal mentadbir Terengganu.
Ia adalah gambaran awal kenapa bilangan kakitangan awam melonjak lebih 100% berbanding ketika kerajaan Terengganu di bawah Barisan Nasional (BN).
Intitusi itu adalah Institut Kajian Strategik dan Intergriti Terenganu (TSIS), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-Mits), Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (Duat), Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) dan Sekolah Rendah Darul Iman (SRDI).
Kelima-lima institusi ini berada di tengah-tengah masyarakat Terengganu bagi membawa mereka ke jalan yang dikehendaki oleh pemerintah negeri ini.
“TSIS buat kajian, Duat mengajar di masjid dan surau, I-Mits kawal peringkat Dewan Undangan Negeri, SRIDI sambut pelajar lepasan Pasti manakala SMIDI pula sediakan pelajar sebelum masuk umur mengundi 18 tahun dan masuk universiti,” kata seorang pemimpin Pertubuhan Muafakat Terengganu Baru (Muafakat)
MUAFAKAT
Baru-baru ini, Muafakat telah menuntut kerajaan negeri untuk menjelaskan pertambahan mendadak bilangan kakitangan awam kerajaan negeri itu yang perlu dibayar gaji, elaun dan bonus tahunan.
Pengerusinya, Zubir Muhamad berkata, ramai kakitangan awam baharu didakwa daripada kalangan pemimpin, ahli dan aktivis Pas yang dilantik menerusi agensi kerajaan yang baharu dibentuk oleh kerajaan negeri.
Menurut Muafakat, kelima-lima institusi ini telah memakan belanja yang besar untuk menguruskannya di mana sumbernya adalah wang kerajaan.
Padahal, katanya, ia adalah untuk kepentingan mempertahankan Pas yang memerintah kerajaan negeri sekarang bukan untuk kepentingan rakyat negeri ini.
Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan telah membayar duit raya RM500 untuk setiap penjawat awam di negeri itu baru-baru ini.
Ketika itulah terdedahnya berapa jumlah penjawat awam Terengganu sekarang berbanding Ketika ia ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
“Ia adalah kenaikan 100% berbanding 2017.
“Pada 8 Jun 2017, Berita Harian menyiarkan bilangan penjawat awam di Terengganu adalah seramai 7,128 orang. Ini berlaku ketika negeri ini ditadbir oleh Barisan Nasional.
“Pada 26 Ogos 2024 pula, Harian Metro menyiarkan kenyataan MB Terengganu bahawa penjawat awam di Terengganu adalah seramai 14,457 orang,” jelas Pengerusi Muafakat dalam kenyataan itu.
TSIS
Semakan Harapandaily dilaman sesawang TSIS mendapati, badan ini merupakan sebuah agensi badan pemikir yang membantu merangka polisi dan hala tuju Kerajaan Negeri Terengganu terutamanya melalui Belanjawan Negeri.
TSIS secara keseluruhannya menghasilkan penyelidikan dasar dan pelan strategik yang relevan untuk kerajaan Negeri Terengganu, kata laman itu.
Pengerusi TSIS adalah MB Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar manakala ahli lembaganya adalah Muhamad Khalil Abdul Hadi (Adun Batu Burok yang juga anak Presiden Pas), Ariffin Deraman (Exco Terengganu), Dr Alias Razak (MP Kuala Nerus) dan Dato’ Mohd Zahari Md Azahar.

Ahli Lembaga Pengarah TSIS yang terbaru adalah Datuk Seri Dr Yusof Ismail (gambar atas), bekas Ketua Pengarah Mampu, sebuah unit yang terletak di Jabatan Perdana Menteri.
Berapa bilangan kakitangan TSIS tidak dapat dikenalpasti.
DUAT
Di peringkat pejabat negeri Terengganu, Duat mempunyai 50 kakitangan sepenuh masa. Ia disenaraikan dalam laman webnya. Ia tidak termasuk kakitangan di peringkat Parlimen dan Dun lagi.
Ada yang mendakwa, Duat mempunyai kakitangan tetap dan separuh masa sehingga beribu-ribu orang di seluruh Terengganu tetapi ia tidak dapat disahkan.
I-MITS
I-Mits pula adalah badan yang menjaga pusat perkhidmatan wakil-wakil rakyat di Terengganu.
Pengarahnya, Kamaruzaman Abdullah adalah penceramah Pas yang terkenal. Di pejabat negeri, I-Mits mempunyai 26 kakitangan.
Menurut Muafakat, I-mits mempunyai 15 kakitangan tetap bagi setiap Pusat Perkhidmatan Adun di kesemua 32 DUN di Terengganu.
“Ini betul-betul nak jaga kepentingan wakil rakyat Pas.
“Selepas TSIS buat kajian, Duat jaga pemikiran, Imits jaga kebajikan, SMIDI dan SRIDI pula mendidik rakyat untuk terus kekal bersama kepimpinan Pas,” kata sumber Muafakat.
Menurut sumber, ada dua lagi agensi besar yang dibentuk oleh kerajaan negeri selain kelima-limanya.
“Kerajaan negeri bentuk dua urusetia untuk jaga belia dan wanita iaitu Urusetia Belia dan Sukan Negeri Terengganu dan Urusetia Wanita Negeri Terengganu.
“Kedua-dua badan ini juga ramai kakitangan dilantik,” kata bekas kakitangan kerajaan negeri.
BACA JUGA Ramai pemimpin, aktivis Pas jadi penjawat awam di agensi baharu kerajaan Terengganu