Penggantungan Razman bermotifkan politik? Ini penjelasan MB Perak
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani menafikan bahawa penggantungan Ketua Pembangkang Perak Razman Zakaria adalah bermotifkan politik.
Beliau mengumpamakannya dengan menggunakan lampu isyarat jalan.
“Kita ada tiga lampu isyarat. Hijau, jalan. Merah maksudnya berhenti. Tapi ada orang masih nak jalan.
“Bila itu berlaku mereka ditahan, didakwa dan dedenda. Bolehkah kita kata ia tidak adil. Peraturan sudah sedia ada.
“Menurut peraturan jangan langgar lampu merah. Kalau kita langgar dan didenda, adakah itu tidak adil. Itu tidak betul. Prinsip sama digunakan dalam kes ini, untuk saya dan semua orang,” jelas beliau.
Buku Peraturan Mesyuarat DUN Perak juga dikenali sebagai Buku Hijau.
“Peraturan Mesyuarat digubal oleh anggota dewan dengan penyertaan blok kerajaan dan pembangkang.”
Pagi tadi Dewan Undangan Negeri Perak meluluskan usul menggantung Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol dari menghadiri sesi dewan selama enam bulan berkuatkuasa serta merta.
Razman dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan pada 4 Disember ekoran dakwaan bahawa beliau membuat kenyataan salah dalam sesi lalu.
Dalam pada itu, Saarani bersedia untuk melawan naratif pembangkang sekiranya isu ini dijadikan bahan kempen di Ayer Kuning.
“Jika mereka menjadikannya isu di Ayer Kuning, saya akan terangkan apa yang sebenarnya berlaku, iaitu ketua pembangkang bertindak bertentangan dengan Buku Hijau dan hukuman diberikan.
BACA JUGA: Razman kena gantung enam bulan dari DUN Perak