‘Ramai asatizah kami tak dapat tauliah kerana terbabit politik, bagaimana Pas boleh lepas?’
Ramai dalam kalangan asatizah dan penceramah agama yang merupakan ahli AMANAH gagal mendapat tauliah mengajar kerana memegang jawatan dalam parti politik.
Malah, terdapat penceramah parti itu yang sanggup melepaskan semua jawatan politik mereka bagi mematuhi kehendak pihak berkuasa agama.
Pengerusi Biro Syariah dan Dakwah AMANAH Perak, Azmy Mohamed Nazir berkata, mereka tidak pernah menyuruh ahli mereka menipu hanya semata-mata untuk mendapatkan tauliah.
“Kami juga secara konsisten menasihati ustaz dan penceramah AMANAH agar melepaskan jawatan politik sekiranya mereka ingin terus menyumbang dalam bidang dakwah di masjid dan surau.
“Kami tidak pernah menyuruh ahli kami menipu, memalsukan dokumen atau memanipulasi sistem demi membolehkan mereka memperoleh tauliah.
“Perbuatan menipu demi mendapatkan tauliah bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi merupakan satu pengkhianatan kepada institusi agama dan penderhakaan terhadap amanah yang telah dititahkan Tuanku. Ini bukan sekadar isu teknikal, tetapi isu prinsip dan integriti,” tegasnya dalam satu kenyataan kepada Harapan Daily hari ini.
Azmy mengulas mengenai tauliah mengajar yang diperoleh calon Perikatan Nasional (PN) Abdul Muhaimin Malek sedangkan pada masa sama dia mempunyai jawatan dalam parti sejak 2015.
Abdul Muhaimin merupakan Yang Dipertua Pas Tapah sejak 2021.
Sebelum itu dia memegang jawatan dalam Pas sebagai Naib YDP Pas Kawasan Tapah (2015-2017) dan Ketua Pemuda Pas Kawasan Tapah (2017-2021).
“Justeru, persoalan yang harus dijawab oleh beliau adakah setiap kali beliau memohon tauliah, beliau jujur dalam permohonannya dengan membuat deklarasi bahawa beliau memegang jawatan dalam parti politik,” ujarnya.
Beliau menyarankan calon PN di DUN Ayer Kuning itu melepaskan semua jawatan dalam parti politik terlebih dahulu sebagai mematuhi syarat yang digariskan pihak berkuasa agama sebelum membuat permohonan tauliah.
BACA JUGA Razman kena gantung enam bulan dari DUN Perak