Dua minggu tak ada air, SPAN dedah punca gangguan bekalan air di UniMAP
Berikutan tular video pelajar di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang terjejas kerana ketiadaan air, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menjelaskan bahawa gangguan bekalan air berpunca daripada sistem perpaipan dalaman di premis universiti berkenaan.
SPAN berkata, masalah bekalan air bukan berpunca daripada masalah tekanan paip utama dibekalkan operator air negeri iaitu Syarikat Air Perlis Sdn Bhd (SAP).
Menurut kenyataan itu, SAP telah menjalankan siasatan di tapak pada 1 April lalu dan mengadakan pertemuan dengan pengurusan UniMAP pada 14 April untuk mendapatkan keterangan lanjut selepas aduan diterima.
“Siasatan di lokasi mendapati tekanan bekalan air selepas meter utama (meter pukal) adalah mencukupi dan melebihi paras minimum yang ditetapkan.
“Masalah gangguan bekalan air ini berpunca daripada sistem perpaipan dalaman di premis universiti berkenaan dan bukannya berpunca daripada operator air,” kata kenyataan itu.
SPAN berkata, Kompleks Uniciti Unimap menerima bekalan air daripada Loji Rawatan Air Timah Tasoh melalui paip utama SAP bersaiz 315mm jenis HDPE.
Gangguan bagaimanapun hanya melibatkan sebahagian daripada enam blok bangunan di kompleks berkenaan, yang disahkan berpunca daripada masalah sistem dalaman dibina oleh pihak pemaju.
“Dalam usaha mengurangkan beban ditanggung penghuni yang terjejas, SAP mengambil beberapa tindakan segera termasuk menyediakan pintasan sementara tanpa melalui meter utama, menghantar bekalan air menggunakan lori tangki, serta mengepam air ke dalam tangki premis universiti,” katanya.
Sebelum ini tular rakaman pelajar UniMAP mogok beramai-ramai dengan melaungkan ‘air, air, air’ dan ‘nak balik rumah’ secara beramai-ramai.
Video berdurasi 48 saat itu dipercayai berlaku di blok perempuan KPUA.