Dilantik sebagai penasihat SG4 tetapi tiada hasil kejayaan

Tiada hasil kejayaan dicatatkan oleh syarikat yang dibentuk oleh empat kerajaan negeri tadbiran Perikatan Nasional – SG4 Group Sdn Bhd meskipun mereka melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat SG4.

Menurut penganalisa politik UMCEDEL, Profesor Awang Azman Awang Pawi, setakat ini tiada arah tuju strategik yang diumumkan oleh negeri- negeri SG4.

Beliau merujuk kepada negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

“Tiada rancangan ekonomi bersama di antara negeri, tiada reformasi social kolektif dan tiada rancangan digital atau teknologi daripada SG4.

“Tiada satu pun model ekonomi atau sosial yang diumumkan oleh SG4 yang mencerminkan arah tuju atau kesan peranan Mahathir sebagai penasihat.

Kenyataan beliau selepas pelantikan lebih cenderung ke arah retorik politik “Bangsa Melayu lemah” bukannya strategi pembangunan yang tuntas.

Setakat ini, tiada hasil konkrit yang boleh dilihat sebagai kejayaan langsung hasil daripada pelantikan Mahathir sebagai penasihat SG4,” kata Awang, lapor Scoop.

Beliau berkata umum memahami bahawa tujuan asal SG4 dan Mahathir adalah untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi.

“Ini juga bermakna keempat-empat negeri tersebut perlu diuruskan dengan berkesan. Peranan Mahathir adalah menghubungkan negeri-negeri ini dengan pelabur, seperti Jepun dan Korea Selatan, di mana beliau mempunyai hubungan rapat.

Isu kewangan Terengganu bagaimanapun menunjukkan tiada mekanisme berkaitan dengan perkongsian sumber atau keutuhan fiskal dalam SG4.

“Jika SG4 benar-benar mahu menjadi blok kuasa alternatif ia perlu mempunyai struktur seperti dana pembangunan serantau atau dana kecemasan antara negeri.

“Paling tidak pun, kordinasi untuk pelaburan dan keusahawan antara negeri.

“Tetapi kita tidak melihat sebarang usaha bersama dari anggota SG4 untuk membantu Terengganu. Ini menunjukkan SG4 lebih simbolik, bukannya institusi yang berfungsi.

SG4 ditubuhkan pada September tahun lalu dengan tujuan berkongsi kemakmuran oleh empat negeri tersebut dan Dr Mahathir dilantik sebagai penashat.

BACA JUGA: ‘Gagal tadbir SG4 tapi kempunan Putrajaya’