Insentif Haji Muassasah naik lagi di Selangor

Selangor telah meningkatkan peruntukan Insentif Haji Muassasah kepada RM6 juta tahun ini.

Seramai 6,000 jemaah muassasah bakal menerima insentif tunai RM1,000 seorang, umum Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shari.

Peruntukan tersebut sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan negeri untuk membantu meringankan beban kewangan rakyat yang terpilih ke Mekah.

“Sejak insentif ini diperkenalkan pada tahun 2022, kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan kepada 12,000 jemaah,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau menjelaskan, permohonan insentif itu dibuka bermula 22 April hingga 25 Julai depan, khusus kepada jemaah muassasah yang merupakan pengundi berdaftar di Selangor.

Permohonan boleh dibuat di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dengan membawa dua dokumen penting.

“Dokumen itu ialah salinan jadual penerbangan haji muassasah tahun ini yang memaparkan KOD MUAS dan salinan pengesahan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) sebagai pengundi Selangor,” jelas beliau.

BACA JUGA: ‘Jangan fitnah negeri beta konon tanah rizab Melayu semakin tergadai’ – Sultan Pahang