KKM Perkenal Pendigitalan Penuh Rekod Kesihatan Haji 2025, Diiktiraf Peringkat Antarabangsa

FOTO BERITA: Majlis Perjumpaan Pengurusan Tertinggi KKM Bersama Rombongan Petugas Haji (Perubatan) Ke Tanah Suci Bagi Musim Haji 1146H/2025M. Turut hadir YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad Menteri Kesihatan, Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan KKM, Datuk Zahrul Hakim Abdullah dan Ketua Jabatan Haji Lembaga Tabung Haji, Mohd Hisham Harun. di Dewan Serbaguna, Aras 8, Blok E7, KKM, Putrajaya. 17hb April 2025 (Khamis)

YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia hari ini telah menyempurnakan Majlis Perjumpaan Pengurusan Tertinggi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Rombongan Petugas Haji (Perubatan) ke Tanah Suci Mekah bagi musim haji 1446H/2025M.

Jumlah keseluruhan petugas KKM seramai 274 yang mana 268 orang daripada jumlah tersebut adalah terdiri daripada petugas perubatan daripada pelbagai bidang akan berkhidmat di Arab Saudi sepanjang musim ibadah ini, merangkumi doktor, jururawat, pegawai farmasi dan pegawai sokongan kesihatan lain. Mereka akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik bagi menyokong keperluan kesihatan jemaah haji Malaysia sepanjang berada di Tanah Suci.

Dalam ucapannya, Menteri Kesihatan menzahirkan penghargaan kepada semua petugas yang telah terpilih, menyifatkan peranan mereka sebagai satu amanah besar yang bukan sahaja membawa nama negara, malah mencerminkan maruah perkhidmatan kesihatan awam Malaysia di peringkat antarabangsa.

Seiring dengan perkembangan teknologi, KKM telah memperkenalkan sistem International Patient Summary (IPS) melalui aplikasi MySejahtera sejak tahun 2023 sebagai sebahagian daripada inisiatif pendigitalan perkhidmatan kesihatan jemaah haji.

Bagi musim haji 2025, sistem ini telah didigitalkan sepenuhnya. Melalui penggunaan Kod QR Rekod Kesihatan Haji, maklumat perubatan seperti sejarah kesihatan, rekod ubat dan alahan dapat dikongsi secara selamat dan efisien dengan fasiliti kesihatan di Arab Saudi, termasuk pasukan perubatan negara tuan rumah. Sehingga 15 April 2025, lebih 31,000 bakal jemaah telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan didaftarkan lengkap dalam sistem ini.

Pendekatan ini telah diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai model pengurusan kesihatan jemaah yang efisien, selamat dan berimpak tinggi.

KKM turut merakamkan penghargaan kepada semua bahagian dalaman kementerian, khususnya Bahagian Khidmat Pengurusan dan Bahagian Perkembangan Perubatan, yang saban tahun menyelaras latihan, logistik dan pelantikan petugas dengan profesionalisme tinggi.

Kerjasama rapat antara KKM dan Lembaga Tabung Haji dari peringkat perancangan hingga pelaksanaan di Tanah Suci telah membuahkan hasil yang membanggakan. Berdasarkan soal selidik oleh Tabung Haji, jemaah Malaysia menunjukkan tahap kepuasan tinggi terhadap mutu perkhidmatan kesihatan KKM sepanjang musim haji yang lalu.

Sebagai langkah pencegahan, KKM menyeru semua bakal jemaah, khususnya mereka yang berusia 65 tahun ke atas, penghidap penyakit kronik serta individu dengan sistem imun lemah untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19 dan Influenza sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Perhimpunan besar seperti ibadah haji berisiko tinggi untuk penularan penyakit respiratori. Justeru, pengambilan vaksin adalah langkah penting bagi melindungi kesihatan diri serta keselamatan seluruh jemaah.

Ditanya cabaran kesihatan musim haji kali ini, beliau berkata, cuaca panas dijangka menjadi cabaran utama sama seperti musim haji tahun lalu apabila suhu mencecah sehingga 52 darjah selsius
