Lawatan Xi Jinping ke Malaysia: Apa kata penganalisa luar?
Seorang penganalisa politik dari National University of Singapore tidak pasti bagaimana lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia akan memberi kesan terhadap rundingan Malaysia dengan Amerika berhubung isu tarif.
Pentadbiran Donald Trump telah mengenakan tarif timbal balik pada kadar 24 peratus ke atas sebelum menjedakan pelaksanaan tarif selama 90 hari.
Ini membolehkan Malaysia menghantar satu misi diplomatik untuk berunding.
Xi telah melawat Malaysia dari 15 hingga 17 April. Lawatan tersebut adalah sebahagian daripada lawatan ke Asia Tenggara.
Negara lain yang turut dilawati adalah Vietnam dan Kemboja.
“Bagaimana (lawatan Xi) mengubah situasi ini masih tidak jelas. Ini termasuk persoalan mengenai rundingan dengan Amerika Syarikat.
“Tambahan lagi, ada isu tertunggak dengan China yang masih belum dibincangkan,” kata Chong Ja Ian, seorang profesor di NUS, lapor Channel News Asia.
Isu tertunggak yang dimaksudkan termasuklah tuntutan wilayah bertindih China di Asia Tenggara dan pembekalan barangan China ke Asia Tenggara secara berlebihan sehingga menekan ekonomi tempatan dan perniagaan kecil.
“China boleh hingga satu tahap menyediakan pasaran untuk barangan dari Asia Tenggara kerana permintaan domestic yang rendah dan penggunaan komponen dari Asia Tenggara dalam pengeksportan sector pembuatan ke Amerika Syarikat/
“Kebolehan Beijing untuk menyediakan dana juga tidak dibincangkan.
Felo penyelidik program Asia Tenggara di Lowy Institute, Australia, Abdul Rahman Yaacob pula berpandangan bahawa Malaysia dan Vietnam berdepan kesukaran mengimbangkan hubungannya dengan Amerika dan China.
“Ada isu tuntutan wilayah dengan China tetapi Beijing ialah rakan dagang utama.
“Malaysia di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyajikan optik yang positif berkenaan China tetapi dalam bidang pertahanan turut meningkatkan kebolehan pertahanan di Sabah dan Sarawak, terutamanya di kawasan Laut China Selatan.
“Pada ketika ini agak sukar untuk menilai sama ada perjanjian yang ditandatangani akan memberi kesan kepada keupayaan Malaysia berunding untuk kadar tarif yang lebih rendah.”
Perjanjian yang dimaksudkan merujuk kepada 31 MOU yang ditandatangani oleh China dan Malaysia.