Pengulas AS kata Melayu tak ada duit, tak boleh bantu ekonomi China

Pengulas politik Amerika Syarikat (AS), Bill O’Reilly mencetuskan kontroversi selepas tersebar ucapannya yang memperlekeh lawatan rasmi Presiden China Xi Jinping ke Malaysia semalam.

Bekas pengacara Fox News itu melabel negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Vietnam dan Kemboja sebagai “tiada duit” dan tidak mampu memberi sokongan ekonomi yang diperlukan China.

“Hai Presiden Xi, mari saya jelaskan kepada anda. Mereka tiada duit langsung. Mereka tak boleh tolong kamu, mereka tak akan beli barang kamu sebab mereka tak ada duit,” kata O’Reilly sambil ketawa sinis.

Dia juga tertanya-tanya rasional di sebalik lawatan serantau Xi dan berkata pemimpin China itu mungkin cuba menghindari tarif yang dikenakan AS dengan mengubah laluan eksport melalui Vietnam.

O’Reilly juga memperlekeh masyarakat Melayu, mengatakan Melayu tidak akan beli barangan China kerana tiada duit.

“Mungkin dia pergi ke sana untuk cuba seludup barang China bawah label Vietnam. Tapi itu akan mudah terbongkar.

“Jadi saya pun tak tahu ini tentang apa. Kamu tahu… Kalau China kehilangan pasaran AS. Tapi saya masih percaya akan ada detente (pengenduran ketegangan). Ia dah rosak. Ia betul-betul kacau.

“Sebab kami ada duit, kami beli barang. ‘Orang Melayu’ takkan beli barang anda, mereka tiada duit,” katanya.

Komen O’Reilly itu dibuat dalam konteks perang dagang berpanjangan antara Amerika Syarikat dan China yang bermula pada 2018 semasa pentadbiran kali pertama Donald Trump.

Presiden Xi memulakan lawatannya pada Selasa atas undangan Yang di-Pertuan Agong.

Ini lawatan kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas kali terakhir pada 2013 yang menyaksikan hubungan diplomatik kedua-dua negara ditingkatkan kepada perkongsian strategik menyeluruh.

Dalam pertemuan dua hala antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Xi, medua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran 31 Memorandum Persefahaman (MoU), perjanjian dan nota antara Malaysia dan China.

BACA JUGA Kecoh isu ladang babi, tular balik jawapan Razman semasa ditanya media