Johari Ghani perjelas isu Kampung Sungai Baru minggu hadapan

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Ghani merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa akan mengadakan satu siding media khas berhubung isu Kampung Sungai Baru pada minggu depan untuk menjelaskan isu sebenar berkaitan pembangunan kampung tersebut.

“Mengenai isu Kampung Sungai Baru, satu sidang akhbar khas akan saya adakan minggu hadapan kerana badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang datang ke sini (Kampung Sungai Baru) tidak memahami (isu sebenar).

“Malah sejak penggal pertama saya menjadi wakil rakyat, saya sudah pesan untuk (mereka) tidak tandatangan tetapi mereka tetap tandatangan.

“Oleh demikian, saya akan jelaskan isu ini dari mula hingga akhir,” katanya ketika ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Perladangan dan Komoditi, di Perkarangan Pintu Gerbang Kampung Baru, di sini hari ini.

Isu pengambilan tanah kampung ini membabitkan 67 unit rumah teres dan 14 blok Pangsapuri Sungai Baru. Proses pengambilan tanah bermula sejak 2016.

Kebanyakan penghuni rumah teres tidak bersetuju dengan pampasan RM400 kaki persegi yang ditetapkan oleh Pejabat Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

BACA JUGA: ‘Masalah penduduk Kampung Sungai Baru angkara Perikatan Nasional’