Pemerkasaan Infrastruktur Rel dan Digitalisasi pacu pertumbuhan ekonomi negara – YB Loke

FOTO BERITA: Majlis Apresiasi Pelanggan dan Hari Terbuka RAC 2025. Perasmian oleh Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook. Turut hadir YB Datuk Ahmad Fahmi Fadzil Menteri Komunikasi di Hotel Double Tree, Putrajaya. 18hb April 2025 (Jumaat)

PU Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook hari ini menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur rel dan pemerkasaan digitalisasi merupakan kunci utama dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negara serta memperkukuh keterhubungan domestik dan serantau.

Berucap sempena Majlis Apresiasi dan Hari Terbuka Perbadanan Aset Keretapi (RAC) 2025, YB Loke mengetengahkan kejayaan penting yang dicapai menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pengangkutan dan Pentadbiran Kereta Api Negara China. MoU ini dimeterai sempena lawatan rasmi Presiden China, TYT Xi Jinping ke Malaysia dan disaksikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Kerjasama ini membuka peluang besar dalam pemindahan teknologi, pembangunan bakat tempatan serta pelaksanaan projek berimpak tinggi. Ia turut membolehkan syarikat tempatan menyertai rantaian bekalan global dan menembusi pasaran antarabangsa,” ujar YB Loke.

Beliau turut menegaskan komitmen Malaysia terhadap perdagangan terbuka dan kerjasama ekonomi rentas sempadan meskipun berdepan cabaran perang perdagangan global. Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia membawa mesej jelas dalam memperjuangkan sistem ekonomi berasaskan peraturan dan pembangunan infrastruktur serantau yang inklusif.

Dalam konteks domestik, YB Loke menyambut baik inisiatif RAC membangunkan rangkaian fiber optik sepanjang jajaran kereta api, satu strategi yang dilihat bijak dalam memaksimumkan nilai aset rel negara tanpa menjejaskan operasi sedia ada. Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh infrastruktur digital negara, malah mampu menjana pendapatan tambahan untuk menyokong pemulihan aset dan pelaburan dalam perkhidmatan rel.

“Ini membuktikan bahawa dengan tadbir urus yang baik dan pendekatan kreatif, infrastruktur awam mampu menjadi enjin pertumbuhan fizikal, digital dan ekonomi secara serentak,” katanya.

Majlis turut menyaksikan pengumuman YTL Communications Sdn. Bhd. sebagai syarikat pertama yang berjaya dalam Request for Proposal (RFP) yang dilaksanakan oleh RAC pada tahun 2023. Projek ini melibatkan pembangunan infrastruktur fiber optik sepanjang 1,600 kilometer jajaran rel dari Padang Besar ke Johor Bahru dan Tumpat, Kelantan.

Sesi Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah RAC, YBhg. Dato’ Jana Santhiran Muniayan kepada Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, YBrs. En. Wing K. Lee. Majlis bersejarah ini disaksikan oleh YB Loke Siew Fook, YB Datuk Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi), serta Ketua Pegawai Eksekutif RAC, YBhg. Dato’ Azhar Ahmad.

Turut hadir, Pengarah Urusan YTL Communications, YBhg. Dato’ Seri Yeoh Seok Hong dan Pengarah YTL Communications, YBrs. Encik Yeoh Keong Ren.

Pelaksanaan inisiatif liberalisasi pembangunan infrastruktur telekomunikasi ini disifatkan sebagai langkah strategik menyokong agenda transformasi digital negara. Ia memberi peluang kepada pemain industri telekomunikasi berlesen untuk mengakses jajaran kereta api bagi pembangunan rangkaian fiber optik berkelajuan tinggi melalui proses RFP.

Mengakhiri ucapannya, YB Loke menyeru semua pihak untuk terus berganding bahu membina masa depan pengangkutan negara yang cekap, lestari dan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat dan daya saing Malaysia di persada global.