PN boleh kehilangan 32 daripada 74 kerusi parlimen sekiranya…
Mohd Yusri Ibrahim
Pas parti politik lama dan berpengalaman luas, mereka bijak membaca dan mencatur gerak politik mereka sendiri.
Sebab itu apabila berdepan beberapa isu berbangkit dalam PN, mereka kembali membuka pintu kepada Umno.
Isu-isu berbangkit tersebut bukan sekadar tentang hubungan dengan Bersatu seperti yang saya sentuh dalam catatan lepas, tetapi juga tentang peluang mereka dalam PRU16 nanti.
Jika situasi politik sekarang tiada perubahan dan UMNO/BN kekal bekerjasama dengan PH menuju PRU16, PN berpotensi hilang sekurang-kurangnya 32 kerusi parlimen yang mereka sandang sekarang, berdasarkan undi yang mereka perolehi berbanding campuran undi sedia ada PH-BN.
Hilang 32 daripada keseluruhan 74 kerusi yang dimenangi dalam PRU15 2022 lalu bukanlah sesuatu yang diingini oleh PN, bahkan akan jadi mimpi ngeri jika benar-benar berlaku nanti.
Sebab itu saya percaya para strategis Pas tidak akan biarkan perkara ini berlaku, mereka adalah parti tunggal yang memenangi kerusi parlimen paling banyak dalam PRU lepas, mereka akan cuba pertahan karisma yang ada.
Saya kurang sentuh tentang Bersatu kerana kekuatan sebenar akar umbi PN adalah Pas, setiap kali pilihan raya, Bersatu hanya bergantung kepada kekuatan jentera PAS.
Jika Pas memilih untuk tinggalkan kerjasama dengan Bersatu dan mereka gagal menumpang mana-mana parti dalam PRU akan datang, Bersatu berisiko hilang dalam radar politik tanah air, seperti yang sedang dialami Pejuang sekarang.
Secara umumnya 32 kerusi yang saya maksudkan itu paling banyak adalah dari Perak iaitu negeri tempat sedang berlangsung PRK Ayer Kuning sekarang.
Jika PH-BN kekal bekerjasama dan senario politik tidak banyak berubah, PN berisiko hilang lapan kerusi di Perak iaitu Gerik, Parit Buntar, Bukita Gantang, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Parit, Pasir Salak dan Lumut.
Pahang pula negeri kedua paling banyak PN berisiko terlepas dengan tujuh kerusi iaitu di Jerantut, Indera Mahkota, Kuantan, Maran, Kuala Krau, Temerloh dan Rompin.
Seterusnya Selangor dengan enam kerusi iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Tanjong Karang, Kapar dan Kuala Langat.
Melaka dan Pulau Pinang pula masing-masing tiga kerusi iaitu di Masjid Tanah, Tangga Batu, Jasin, Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Permatang Pauh.
Johor pula berisiko hilang dua kerusi iaitu di Mersing dan paling menarik kerusi yang sedang disandang oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Pengerusi PN di Pagoh juga termasuk dalam senarai.
Selain itu Kedah dan Perlis masing-masing satu kerusi parlimen Kulim Bandar Baharu dan Kangar.
Sebelum kempen Ayer Kuning bermula, pimpinan-pimpinan utama Pas telah membuat kenyataan terbuka menyatakan hasrat untuk kembali menaut kasih dengan UMNO.
Sepanjang kempen PRK ini Pas juga tidak banyak menyerang UMNO, mereka tidak berhasrat untuk membakar sisa-sisa runtuhan piagam muafakat yang ditandatangani sebelum ini.
Dengan harapan besar agar puing-puing tersebut boleh dikutip, disusun dan dipaku semula untuk membina mahligai baru, walaupun mungkin tidak seindah dan sekukuh Taj Mahal, tapi sekurang-kurangnya bolehlah dulu untuk bermadu cinta buat sementara.
Sebab itu Ayer Kuning akan terus dijadikan medan untuk meyakinkan UMNO/BN bahawa kerjasama bersama PH dalam Kerajaan Perpaduan tidak wajar diteruskan.
Berbanding menyerang UMNO/BN, PN lebih banyak menyerang PMX dan Kerajaan Madani secara umum di Ayer Kuning.
Secara tidak langsung ini juga memberi keuntungan kepada UMNO/BN, mereka boleh fokus kepada strategi kempen tanpa banyak gangguan, seterusnya berusaha untuk capai kemenangan dengan majoriti besar yang mereka sasarkan.
Mohd Yusri Ibrahim ialah pensyarah kanan di Universiti Malaysia Terengganu