Protokol fitosanitari hanya untuk kelapa muda wangi sebagai minuman segar
Protokol Keperluan Fitosanitari yang dimeterai antara kerajaan Malaysia dan China hanya untuk kelapa muda dengan keutamaan kepada kelapa wangi adalah untuk tujuan minuman segar sahaja.
Dengan pelaksanaan protokol fitosanitari, akan ada peningkatan kawalan biosekuriti dengan elemen kebolehkesanan yang lebih sistematik, kata Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Datuk Nor Sam Alwi.
Perkara seperti pengurusan amalan pertanian baik serta pematuhan kepada sistem kawalan perosak bersepadu akan memastikan hanya kelapa muda yang berkualiti tinggi dan selamat dieksport mengikut piawaian antarabangsa, tambah beliau.
“Pada tahun 2023, pengeluaran kelapa negara mencecah 624,000 tan metrik. Daripada jumlah ini, sebanyak 6,000 tan metrik kelapa muda telah dieksport.
“Keutamaan eksport kelapa muda adalah berasaskan permintaan pengguna luar negara dan memberi pulangan nilai tambah, khususnya dalam bentuk minuman segar.
Para pengusaha kelapa wangi digalakkan untuk mengeksport kelapa nuda wangi di bawah protokol ini dengan mendaftar ladang sumber yang dipersijilkan dengan myGAP dan fasiliti pemprosesan.
Pengusaha yang berminat boleh menghubungi Jabatan Pertanian melalui e-mel di pro@doa.gov.my.
Justeru itu keutamaan diberikan kepada pembangunan industri kelapa bagi tujuan meningkatkan SSR kelapa.
Bantuan penggalak
Sebanyak RM10 juta telah diperuntukkan bagi Projek Pembangunan Industri Kelapa dan RM6.25 juta untuk Projek Pengukuhan Benih Kelapa.
Ia bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran kelapa negara kepada 669,000 tan metrik menjelang tahun 2030.
Insentif turut disediakan kepada pengusaha kelapa termasuk input pertanian seperti anak benih, baja dan racun perosak, selain sokongan infrastruktur asas ladang.
Skop projek merangkumi penanaman baharu, penanaman semula, pemulihan pokok tua serta integrasi tanaman.
Jabatan Pertanian turut melaksanakan pelbagai program latihan secara teori dan amali melibatkan pengusaha kelapa di seluruh negara.
Tiga negeri utama pengeluar kelapa di Malaysia ialah Selangor, Johor dan Perak.
Sebanyak 93% kawasan kelapa diusahakan oleh pekebun kecil, manakala selebihnya dimiliki oleh estet (6.5%) dan agensi kerajaan (0.5%).
Mengikut rekod Jabatan Pertanian, dianggarkan seramai 60,000 pengusaha kelapa di seluruh negara.
Dari segi pengeluaran, pekebun kecil menyumbang lebih 80% kepada jumlah pengeluaran.
BACA JUGA: Malaysia dapat kelulusan eksport kelapa segar ke pasaran China