‘Sumbangan negeri seperti Sarawak penting kepada ekonomi negara’

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan sumbangan negeri kepada ekonomi negara semasa Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 di Sarawak.

“Saya menyentuh perkembangan kemajuan Sarawak yang cukup pantas ketika ini,” kata beliau dalam satu hantaran Facebook.

“Di pentas antarabangsa, Sarawak dilihat sebagai wilayah yang berpotensi besar sebagai hab tenaga serantau.

“Sumbangan negeri ini kepada kekuatan ekonomi negara amat besar, dan ia membanggakan kita semua.

“Sarawak menampilkan satu model pembangunan yang teguh, dengan pelaburan infrastruktur yang jauh lebih besar berbanding negeri lain, menggunakan dana negeri sendiri.

“Ini tidak berlaku secara kebetulan, tetapi hasil sistem politik yang stabil, kepimpinan berwawasan, serta semangat untuk mencungkil bakat dan memperkukuh pentadbiran.”

Kerajaan Sarawak turut dipuji kerana mengorak langkah dalam pelbagai bidang menggunakan dana sendiri.

“Saya gembira melihat perkembangan positif di Sarawak dalam banyak bidang termasuk pendidikan, penyelidikan dan industri tenaga.

“Malah, inisiatif seperti pembangunan Hospital Kanser Kuching, yang didahulukan dana oleh Kerajaan Negeri, menunjukkan komitmen luar biasa untuk kebajikan rakyat.”

BACA JUGA: ‘Masalah penduduk Kampung Sungai Baru angkara Perikatan Nasional’