AMK Perak perkukuh usaha menangkan calon BN

FOTO BERITA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak terus menunjukkan komitmen padu dalam usaha memenangkan calon Barisan Nasional (BN), Dr. Mohamad Yusri Bakir, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Sejak hari penamaan calon, jentera AMK Perak telah giat turun padang dan berkampung di kawasan DUN Ayer Kuning. Kehadiran pimpinan tertinggi AMK Malaysia seperti Ketua AMK Malaysia, YB Adam Adli; Timbalan Ketua, Saudara Kamil Munim; Setiausaha, Saudara Omar Mokhtar; serta sokongan pimpinan negeri dan pusat termasuk Ketua AMK Kedah, YB Dr. Taufiq Johari, dan Ketua AMK Perlis, Saudara Azzin Izzad, telah menyuntik semangat luar biasa kepada jentera muda di peringkat akar umbi.

.

Di bawah koordinasi Ketua AMK Perak, Saudara Zaim Sidqi, gerak kerja dirangka secara menyeluruh dengan melibatkan kerjasama jentera tempatan, cabang angkat, dan negeri angkat. Tumpuan utama adalah memastikan kelangsungan jenteran perpaduan serta membawa gelombang perubahan ke seluruh pelusuk Ayer Kuning.

Memasuki fasa kedua kempen, AMK Perak terus mempertingkatkan momentum menerusi strategi yang lebih tersusun, terutamanya di tujuh Daerah Mengundi (DM) angkat yang diperuntukkan kepada PKR Perak. Pendekatan ini merangkumi kempen lapangan secara langsung serta penguasaan ruang media sosial bagi memperluas capaian mesej dan naratif parti.

tBilik Operasi Pakatan Harapan PRK N.48 Ayer Kuning kini menjadi pusat koordinasi utama gerak kerja, selain beberapa lokasi strategik lain dalam kawasan DUN. AMK Perak menyatakan kesediaan untuk terus bekerja keras demi menterjemahkan kestabilan politik yang dibawa oleh Kerajaan MADANI kepada sokongan padu pengundi, sekaligus memastikan kemenangan kekal milik Barisan Nasional