Heboh lagi isu Jalur Gemilang ‘hilang’ bulan sabit, Fahmi serah pihak polis siasat

Heboh lagi isu paparan imej Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit. Kali ini berlaku pada pameran perdagangan produk bayi di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil memberitahu sekurang-kurangnya lima laporan polis telah dibuat oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan UMNO Parlimen itu berhubung insiden biadab tersebut.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, kesalahan mempamerkan lambang kebangsaan secara tidak sempurna adalah perkara serius yang tidak boleh dipandang ringan.

Menurutnya, tindakan tegas wajar diambil sebagai peringatan supaya insiden tersebut tidak berulang.

“Semalam, kita digegarkan dengan satu insiden yang dipercayai berlaku di Mid Valley dalam kawasan Lembah Pantai, membabitkan paparan lambang Jalur Gemilang yang tidak lengkap.

“Saya bangkitkan isu ini kerana ia berlaku di kawasan saya,” ujarnya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Persatuan Waris Kerinchi Kuala Lumpur hari ini.

Fahmi berkata, pihaknya sudah berbincang dengan parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk bersama-sama membuat laporan polis pada tengah malam tadi.

Fahmi Fadzil

Laporan itu antara lain meminta polis untuk menyiasat insiden berkenaan di bawah Akta 414, Akta Lambang dan Nama (Pencegahan Penggunaan Tidak Wajar) 1963, serta Akta 193, Akta Kawalan Paparan Lambang Kebangsaan 1949.

“Kita serahkan kepada pihak polis untuk menyiasat dan sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang, kita mohon agar tindakan tegas diambil terhadap pihak berkenaan,” jelasnya.

Menteri Komunikasi berkenaan menegaskan bahawa kesalahan mempamerkan lambang kebangsaan adalah perkara yang berat, dan hal tersebut harus menjadi pengajaran.

Terdahulu, tular paparan bendera Malaysia tanpa simbol bulan sabit di sebuah reruai pameran di TCE Baby Expo di Dewan Ekspo, Tingkat 3, Mid Valley Megamall.

Reka bentuk latar pentas di reruai Singapore Lactation Bakes itu hanya memaparkan 14 jalur dan bintang pecah 14 tanpa kehadiran bulan sabit sekaligus menuai kecaman rakyat Malaysia.

BACA JUGA ‘Pergilah kerjakan haji dulu, rugi ditangguh hanya sebab sentimen politik’