Islam tak pernah ajar tinggalkan ibadah demi merebut kuasa

Biro Syariah dan Dakwah AMANAH Perak menyeru agar semua pihak khususnya ahli politik, berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang menyentuh hukum agama Islam.

Pengerusinya, Azmy Mohamed Nazir berkata, seorang pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan bahawa “kemenangan politik lebih utama daripada menunaikan umrah”, boleh merosakkan kefahaman umat Islam terhadap keutamaan dalam agama.

“Islam tidak pernah mengajar kita untuk meninggalkan ibadah demi merebut kuasa. Malah, Islam menegaskan bahawa kejayaan di dunia tidak boleh dicapai dengan menggadai prinsip akhirat.

“Jangan sampai semangat politik melampaui batas sehingga memperkecilkan tuntutan ibadah yang menjadi rukun dalam agama,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Malam tadi, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang menyeru umat Islam agar mengutamakan kemenangan politik dan menangguhkan rancangan menunaikan ibadah haji ke Mekah.

Ahli Parlimen Marang berkenaan turut mengulangi rungutan bahawa masyarakat Islam di negara ini lebih cenderung menunaikan ibadah haji berbanding berusaha untuk menguasai pentadbiran negara.

Mengulas lanjut, Azmy berkata, menunaikan haji dan umrah adalah ibadah yang tinggi kedudukannya dalam Islam manakala haji pula adalah Rukun Islam kelima iaitu kewajipan fardhu ain bagi Muslim yang berkemampuan.

“Ia bukan sekadar amalan sunat, tetapi perintah Allah yang jelas dan terhormat.

“Meremehkan kedudukannya demi kepentingan politik adalah suatu bentuk keghuluw-an (melampau) dalam berpolitik,” tegasnya.

Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa pilihan raya adalah sistem ciptaan manusia untuk mengurus pelantikan pemimpin dalam sesebuah negara tetapi tidak pernah melebihi nilai ibadah yang ditetapkan oleh syariat Islam.

BACA JUGA ‘Pergilah kerjakan haji dulu, rugi ditangguh hanya sebab sentimen politik’