Pakej haji palsu: Sultan Selangor ingatkan dosa perdaya orang lain

Sultan Selangor bertitah mengingatkan umat Islam supaya tidak menganiaya sesama Islam dengan mengambil kesempatan mengadakan pakej-pakej haji palsu.

Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berharap pihak berkuasa memandang serius perkara itu agar tiada lagi kes jemaah haji yang ditipu agen tidak bertauliah.

“Ingatlah, agama Islam melarang umatnya menipu dan Allah SWT akan membalas segala dosa-dosa mereka yang memperdaya orang lain,” titah baginda pada Kursus Perdana Haji Peringkat Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, hari ini.

Dalam masa sama, baginda juga berharap jemaah haji pada tahun ini terus mengekalkan disiplin diri semasa berada di Tanah Suci dan menjaga nama baik Negeri Selangor dan Malaysia.

“Setakat ini, beta dimaklumkan bahawa jemaah haji Malaysia termasuk dari Selangor adalah antara jemaah yang berdisiplin dan patuh kepada peraturan-peraturan yang telah ditentukan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Tumpukan perhatian kepada ibadah di Tanah Suci dan elakkan daripada terlibat dalam sebarang bantahan atau demonstrasi.

“Bersabarlah atas segala kepayahan dan dugaan yang mungkin dilalui terutama ketika berada di padang Arafah, Muzdalifah dan Mina.

“Sentiasalah berhubung dengan petugas-petugas haji dan mengikuti segala arahan-arahan yang dibuat oleh pihak Lembaga Tabung Haji,” titah baginda lagi.

BACA JUGA Rupanya bini no 2 calon Pas PRU 15 lalu…