Tubuh jawatankuasa khas tangani kes ceroboh tanah, ini cadangan ADUN DAP

Satu jawatankuasa khas tanah haram yang anggotanya boleh dilantik daripada bekas pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan pakar tanah di institusi pengajian tinggi (IPT) perlu dibentuk untuk menyelesaikan masalah pencerobohan tanah di Pahang.

Cadangan itu dilontarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras dari DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji pada sesi perbahasan menjunjung kasih titah Diraja Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Tengku Zulpuri berkata, jawatankuasa itu akan mencadangkan kaedah penyelesaian yang adil bagi kes pencerobohan yang berlaku terlalu lama membabitkan rakyat tempatan atau luar Pahang.

“Jawatankuasa ini diberi tiga bulan untuk mengemukakan cadangan pelan tindakan kepada kerajaan negeri untuk dilaksanakan.

“Pencerobohan perlu dinoktahkan dan tanah yang diceroboh tidak boleh terlalu lama dibiarkan,” katanya.

Antara pekebun durian Musang King haram di Raub yang membantah operasi penguatkuasaan.

Isu pencerobohan tanah di Pahang mencetuskan kontroversi apabila kerajaan negeri pada 8 April lalu memulakan operasi penguatkuasaan terhadap kebun durian Musang King haram di Raub.

Tanah yang diduduki secara haram di Raub itu meliputi kawasan seluas 202.34 hektar, bersamaan kira-kira 283 padang bola sepak.

Namun, pekebun durian tanpa permit terbabit mengadakan protes terhadap tindakan penguatkuasaan membabitkan pemusnahan pokok durian yang ditanam.

Dalam masa sama, bantahan pekebun haram terbabit mendapat sokongan pihak tertentu.

Susulan itu, Al-Sultan Abdullah memberi amaran tindakan menyokong pencerobohan tanah secara haram sebagai satu bentuk “perjuangan” adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

BACA JUGA Ini sebabnya bawa anak ke tempat kerja sangat digalakkan, pemimpin dunia pun praktik sama