Apa maksud di sebalik kejutan demi kejutan di dalam pemilihan PKR peringkat cabang?

Penganalisa politik Universiti Malaya Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi berpandangan bahawa kejutan-kejutan yang berlaku dalam sesi pemilihan cabang PKR boleh ditafsirkan dari beberapa sudut.

Pertama ialah ia merupakan isyarat daripada akar umbi.

“Kegagalan beberapa wakil rakyat dan pemimpin kanan dalam pemilihan cabang menunjukkan bahawa akar umbi sedang menghantar mesej jelas – mereka mahu perubahan dalam gaya kepimpinan dan pendekatan politik,” kata penganalisa yang berpusat di UMCEDEL, Universiti Malaya.

“Ini dilihat menandakan ketidakpuasan terhadap wakil rakyat yang dianggap terlalu elitis, kurang turun padang, atau tidak berjaya membawa impak besar di kawasan masing-masing.

“Akar umbi kini mahukan pemimpin yang lebih mendengar suara mereka dan mendekati isu rakyat secara langsung,” katanya kepada Harapan Daily.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad tewas di kawasan yang diwakili beliau, Setiawangsa.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir tersungkur di Johor Bahru yang diwakilinya.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli tewas di Hang Tuah Jaya.

Seorang lagi, Timbalan Menteri Perpaduan Negara K Saraswathi tewas dalam percubaan memenangi cabang Bukit Bintang.

Pemilihan PKR di peringkat cabang pada tahun ini memperlihatkan beberapa trend.

Pertama, ialah kemenangan ketua tanpa pasukannya.

Kedua, kebanyakan yang kalah adalah dari pasukan yang menyokong timbalan presiden, Rafizi Ramli.

Ramai daripada mereka terdiri daripada Ahli Parlimen, anggota Jemaah Menteri dan ahli exco kerajaan negeri.

Kesan terhadap pemilihan pusat

Awang Azman berpandangan trend ini akan sedikit sebanyak mempengaruhi pemilihan pusat pada bulan hadapan.

“Keputusan di peringkat cabang akan sedikit sebanyak mempengaruhi mood dan kecenderungan semasa menuju ke pemilihan pusat bulan depan.

“Walaupun tidak semestinya mencerminkan keputusan akhir, namun ia boleh menjadi indikator awal bahawa penyokong-penyokong tegar di peringkat akar sedang mempersiapkan perubahan struktur dalaman parti.

Kegagalan para pemimpin pro-Rafizi pula ditafsirkan seperti berikut:

“Pertama, ia satu penolakan terhadap gaya politik reformis yang mungkin dilihat terlalu idealistik atau kurang pragmatik pasca PRU15.

“Kedua, ia mungkin menandakan kelemahan dalam jentera politik pasukan Rafizi sendiri, yang gagal menyesuaikan naratif perubahan dengan realiti semasa di peringkat akar umbi.

“Ketiga, kegagalan ini juga boleh dilihat sebagai kegagalan dalam memenuhi janji-janji selepas Rafizi menang jawatan Timbalan Presiden – seperti isu pengaruhnya dalam kerajaan perpaduan dan keberkesanan beliau dalam mengurus komunikasi politik PKR.”

Penjajaran semula dalam PKR

Secara keseluruhan pemilihan PKR pada tahun ini menunjukkan bahawa parti tersebut sedang mengalami proses penjajaran semula dalam parti, katanya.

“Terdapat jurang antara kepimpinan pusat dengan realiti dan aspirasi akar umbi.

“Jika pucuk pimpinan tidak mengambil isyarat ini secara serius, PKR berisiko berdepan perpecahan dalaman atau kehilangan kepercayaan dari penyokong tradisinya, terutama menjelang PRU akan datang.

“Rafizi sendiri perlu menilai semula pendekatan politiknya – dari segi strategi komunikasi, pengurusan parti, dan peranan dalam kerajaan – supaya tidak dilihat sebagai simbol kegagalan reformasi yang pernah dijanjikan.”

BACA JUGA: Pemilihan ketua cabang PKR: Menteri Nik Nazmi kecundang di Setiawangsa