CCE dan Oasis Xtract jalin kerjasama bangunkan teknologi Alga mampan tempatan
.

FOTO BERITA: Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Central Corporate Engineering Sdn Bhd dan Oasis Extract Sdn Bhd yang disaksikan YB Tuan Chang Lih Kang Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi di Pulse Grande Hotel, Putrajaya. 22hb April 2025 (Selasa)

Satu lagi langkah penting ke arah pembangunan teknologi hijau dan bioekonomi pekeliling negara tercipta hari ini apabila Central Corporate Engineering Sdn. Bhd. (CCE) dan Oasis Extract Sdn. Bhd. menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah disaksikan oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), sekali gus mengiktiraf kerjasama strategik ini sebagai satu usaha penting dalam menyokong agenda inovasi dan kemampanan negara.

CCE merupakan syarikat perintis dalam penanaman mikroalga secara heterotrofik, iaitu tanpa bergantung kepada cahaya matahari. Menggunakan sistem tangki tertutup, CCE berjaya menghasilkan tuaian alga setiap lima hari secara konsisten, dengan keperluan ruang tanah yang minimum. Teknologi ini dibangunkan sepenuhnya oleh penyelidik tempatan dan menjadikan produk CCE sebagai 100% buatan Malaysia.

Alga yang dituai berpotensi besar untuk diproses menjadi biojisim, biofuel, biodiesel, SAF, bioplastik serta bahan kosmetik dan farmaseutikal. Menerusi kerjasama ini, gabungan teknologi CCE dan kepakaran Oasis Xtract membolehkan penghasilan minyak alga mentah yang bernilai tinggi.

CCE akan memulakan pembinaan kemudahan penanaman berskala komersial seluas lima ekar menjelang Jun 2025. Usaha ini menyokong visi Malaysia untuk menjadi peneraju bioekonomi global, selari dengan NETR, Perjanjian Paris dan sasaran bioekonomi pekeliling negara. Inisiatif ini turut berpotensi memperkukuh sektor STEM dan agrikomoditi tempatan, serta menetapkan penanda aras baharu bagi pembangunan teknologi hijau yang mampan dan berdaya saing secara komersial

MoU ini bertujuan untuk membangunkan ekosistem alga yang bersepadu sepenuhnya, bermula daripada penanaman alga secara teknologi heterotrofik oleh CCE, sehinggalah kepada proses pengekstrakan minyak alga berimpak tinggi oleh Oasis Extract – melibatkan aplikasi dalam bidang biofuel, kosmetik dan farmaseutikal.

Dalam ucapan beliau, YB Tuan Chang Lih Kang menzahirkan rasa bangga dan mengucapkan tahniah kepada kedua-dua syarikat atas keberanian mengambil inisiatif yang sejajar dengan matlamat Rangka Kerja Ekonomi MADANI serta Dasar Bioteknologi Kebangsaan 2.0. Beliau menekankan bahawa kerjasama seperti ini adalah kunci kepada transformasi sosioekonomi negara melalui inovasi teknologi tempatan yang mampan dan berimpak tinggi.

“MoU ini sejajar dengan aspirasi Kerajaan di bawah Rangka Kerja Ekonomi MADANI yang memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi hijau dan ekosistem inovasi yang mampan. Ia juga selari dengan Dasar Bioteknologi Kebangsaan 2.0 yang memacu pembangunan penyelesaian bioekonomi pekeliling berimpak tinggi,” jelas beliau.

CCE, yang berpangkalan di Semenyih, sebelum ini telah mencipta inovasi dalam bidang bioteknologi menerusi sistem penanaman alga secara heterotrofik yang tidak memerlukan cahaya matahari. Teknologi tangki tertutup ini membolehkan pengeluaran alga secara konsisten dengan kualiti yang tinggi tanpa bergantung kepada faktor cuaca – satu pencapaian penting dalam bioteknologi hijau tempatan.

Lebih membanggakan, hasil tuaian alga ini bukan sekadar biojisim biasa. Menerusi kolaborasi dengan Oasis Xtract, bahan mentah tersebut akan diproses untuk mengekstrak minyak alga bernilai tinggi yang mempunyai potensi penggunaan dalam industri biofuel, kosmetik dan farmaseutikal. Ini mewujudkan satu rantaian nilai bersepadu daripada penanaman hinggalah ke pemprosesan berimpak tinggi.

MOSTI menekankan bahawa kerjasama seperti ini adalah selari dengan misinya untuk memacu transformasi sosioekonomi melalui sains dan teknologi. Inisiatif ini dijangka mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil serta menyumbang kepada pertumbuhan industri hijau bernilai tinggi tempatan.

“Inovasi tidak seharusnya hanya berakhir di makmal. Ia mesti menyentuh kehidupan rakyat – mewujudkan pekerjaan, menjana pengetahuan, dan membuka peluang kepada usahawan dan penyelidik muda untuk menceburi bidang yang mampan dan beretika,” tambah beliau lagi
