‘Perjelaskan kewajaran salur subsidi RON95 menggunakan MyKad’
Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan Khalid Samad mahu Kementerian Kewangan menjelaskan kewajaran dalam menyalurkan subsidi minyak RON95 dengan menggunakan kad pengenalan (MyKad).
‘Selepas saya buat sidang media minggu lepas (tentang isu ini), saya dihubungi satu pihak mengatakan mereka telah membuat ‘presentation’ pada Februari atau Mac tahun lalu kepada pasukan Rasionalisasi Subsidi Petrol di bawah MOF.
”Namun (sehingga hari ini) belum ada maklum balas (daripada pihak kerajaan). Sistem mereka menggunakan teknologi bukan berdasarkan kad pengenalan, tetapi kepada jenis kenderaan.
”Tuan-tuan kena akui yang bawa kereta Bently itu bila isi minyak, bukan tuannya.. tapi pemandunya,” kata Khalid, mantan Menteri Wilayah Persekutuan dan mantan Ahli Parlimen Shah Alam.
”Kalau bawa kad pengenalan nak isi minyak, mereka akan dapat kadar minyak B40. Kalau nak gunakan kad pengenalan untuk kenal pasti siapa yang sepatutnya bayar harga bukan subsidi, ia pendekatan tidak munasabah,” katanya pada sidang media semalam.
Khalid menyifatkan sistem yang dicadangkan oleh syarikat berkenaan lebih munasabah kerana ia berasaskan kaedah jenis kereta yang mengisi minyak.
Sistem yang dibentangkan syarikat tersebut akan membolehkan kereta-kereta mewah yang dikenal pasti siapa pemiliknya berdasarkan rekod pendaftaran kenderaan perlu membayar kadar minyak tanpa subsidi sekiranya sistem itu diguna pakai berbanding kaedah menggunakan kad pengenalan.
”Memandangkan ia telah dibentangkan kepada pasukan Rasionalisasi Subsidi Petrol, saya rasa ia sepatutnya dibincang dan dipertimbangkan (terlebih dahulu).
”Kalau masih lagi nak gunakan kad pengenalan, harap pihak kerajaan jelaskan perkara itu,” ujarnya lagi.
Rasionalisasi subsidi RON95 dijangka dimulakan dalam bulan Jun.
BACA JUGA: Isu Kg Sg Baru: Khalid Samad saman Rafidah Ibrahim kerana memfitnah