Dah main sentimen perkauman tiba-tiba dakwa ada keturunan darah Cina

Perikatan Nasional (PN) menerusi kempennya sering mengeksploitasi isu perkauman termasuk menjadikan isu ladang babi di Ayer Kuning sebagai senjata politik.

Tetapi amat ironi apabila calon mereka, Abdul Muhaimin Malek secara terbuka mengakui bahawa dia sendiri berasal daripada keturunan Cina.

Setiausaha AMANAH Perak, Salman Saleh berkata, tindakan itu memperlihatkan wajah sebenar calon dan jentera PN yang berkempen dua wajah, berubah mengikut pengundi, dan sanggup berkata apa sahaja untuk undi.

“Jika benar mereka menghormati keharmonian kaum, maka kempen PN sejak awal tidak akan dipenuhi dengan retorik perkauman dan politik kebencian.

“Pengakuan ini hanyalah cubaan untuk meraih undi Cina setelah menyedari penolakan semakin kuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini sebuah portal berbahasa inggeris melaporkan, Abdul Muhaimin mendakwa dia mempunyai darah Cina 80 peratus dan darah Minangkabau 20 peratus.

Dia memberitahu media bahawa ibunya adalah orang Cina tetapi dibesarkan oleh orang Melayu. Maka sebab itu dia dan ibunya tidak boleh bercakap dalam bahasa Mandarin.

Mengulas hal itu, Salman yang juga Pengarah Operasi PH Ayer Kuning menyeru pengundi agar menilai dengan bijak dan tidak terpedaya dengan calon yang menukar warna mengikut suasana.

Beliau berpendapat tindakan calon PN itu sebagai terdesak.

“Pada masa yang sama, jentera mereka terus meniup sentimen perkauman terhadap masyarakat bukan Melayu, termasuk dalam isu ladang babi, pemilikan tanah dan sebagainya.

“Politik berprinsip tidak bertukar skrip hanya kerana takut kalah,” ujarnya.

BACA JUGA Tuduhan terhadap polis bersifat bacul, UMNO cabar ADUN Melor ulang tuduhan