MHO rayu campur tangan Menteri Undang-Undang pelaburan tidak wujud rugi RM12 Juta

FOTO BERITA: Serahan Memorandum & Sidang Media MHO mengenai 79 pengadu kerugian RM12 juta mangsa Penipuan Pelaburan kes disiasat kini dilapor sebagai DNAA minta campur tangan Menteri Undang-Undang di Pejabat Menteri Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Presint 3, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya. 23hb April 2025 (Rabu)

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini mengiringi 79 orang mangsa program pelaburan yang tidak wujud ke Pejabat Menteri Hal Ehwal Undang-Undang bagi menyerahkan rayuan rasmi dan memohon penyelesaian segera terhadap permasalahan yang telah menjejaskan kehidupan mereka.

Dalam sidang media Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim, pihaknya menerima aduan berkaitan kerugian keseluruhan sebanyak RM12 juta yang ditanggung para mangsa selepas menyertai sebuah program pelaburan anjuran syarikat tempatan. MHO yang telah ditubuhkan sejak 2016 dan aktif memperjuangkan hak asasi manusia melalui khidmat guaman dan bantuan kemanusiaan, kini tampil bagi menuntut keadilan buat mereka yang teraniaya.

Menurut Dato’ Hishamuddin, siasatan terhadap syarikat terbabit telah dimulakan sejak 2023 dan laporan polis telah pun dibuat. Namun sehingga kini, tiada penyelesaian konkrit dikemukakan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun Jabatan Peguam Negara meskipun pertanyaan rasmi telah diajukan oleh pihak peguam yang mewakili mangsa.

“Apa yang mengecewakan adalah apabila kami dimaklumkan beberapa kes berkaitan telah diklasifikasikan sebagai Discharge Not Amounting to Acquittal (DNAA) atas alasan pengadu menarik semula laporan. Malangnya, sebahagian laporan polis yang dibuat oleh mangsa kami pula telah dirujuk kepada laporan-laporan tersebut, sekaligus menjejaskan peluang mereka mendapat pembelaan yang sewajarnya,” tegasnya.

Tambah beliau, kebimbangan utama kini adalah tiada sebarang jalan penyelesaian ditawarkan, malah seolah-olah kes ini akan dibiarkan tergantung. Para mangsa, yang kebanyakannya warga biasa, mendakwa telah menggadai simpanan hidup demi menyertai pelaburan tersebut dengan harapan menambah pendapatan sampingan, namun akhirnya tertipu.

Sehubungan itu, MHO dan para mangsa hari ini mengadakan sidang media serta menghantar permohonan rasmi kepada Menteri Undang-Undang agar campur tangan segera dilakukan demi mencari penyelesaian adil. MHO turut menyeru agar Kerajaan Malaysia meneliti kes ini dengan serius dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab.

“Kami bukan sahaja membawa suara para mangsa, tetapi juga amanah masyarakat yang mahukan sistem perundangan dan keadilan negara ini tidak membiarkan penjenayah berselindung di sebalik celah undang-undang,” kata Dato’ Hishamuddin.