PRK Ayer Kuning: Medan memilih wakil rakyat, bukan ‘mufti politikus
Sheikh Umar Bagharib Ali
Saya menyeru rakyat di DUN Ayer Kuning supaya mengundi calon BN iaitu Dr Yusri Bakir.
Dengan memilih calon BN, kita dapat meneruskan legasi kerja kuat mantan ADUN yang lalu – Allahyarham Ishsam Shahruddin – untuk berkhidmat kepada rakyat Ayer Kuning.
Selain itu, jika Dr Yusri Bakir menang, ia memudahkan perhubungan antara rakyat di kawasan DUN dengan Kerajaan Negeri bahkan Kerajaan Persekutuan.
Hal ini kerana kesemuanya berada dalam gagasan pentadbiran yang sama iaitu Kerajaan Perpaduan.
Berbanding calon PAS dan PSM, ia hanya akan menjadi suara ketiga sahaja. Tak lebih dari itu.
Jika calon PAS pula menang di Ayer Kuning, tak mustahil beliau akan bertindak sebagai ‘penghukum’, bukannya seorang wakil rakyat.
Wakil rakyat sepatutnya bekerja untuk membantu rakyat dan mengangkat isu-isu kawasan serta negeri ke sidang DUN.
Mereka berbincang perkara-perkara kebajikan rakyat, polisi dan dasar negeri.
Mengapa saya kata PAS cenderung menjadi ‘penghukum’?
Lihatlah bagaimana kenyataan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang yang bagi saya sangat merbahaya.
Beliau telah menyeru pengundi menangguhkan ibadah haji demi pilihan raya DUN Ayer Kuning.
Perkara ini tidak lain tidak bukan adalah demi kepentingan politik peribadi sehingga beliau sanggup menggunakan hujah agama diluar konteks.
Kata pepatah; bapak borek anak rintik.
Saya bimbang sekiranya calon PAS menang di DUN Ayer Kuning, lebih banyak ‘fatwa-fatwa’ kontroversi akan digunakan sewenang-wenangnya untuk membenarkan tindakan yang diambil demi kepentingan sendiri.
Dari satu sudut lain, saya juga melihat kenyataan Hadi dan pendekatan PAS ini sebagai taktik kotor yang cuba memberi gambaran kononnya ‘Islam terancam’.
Sehingga mereka sanggup seolah-olah mengisytihar pilihan raya kecil DUN Ayer Kuning sebagai medan jihad dan menyeru umat Islam menangguhkan haji.
Ini sangat merbahaya kerana melibatkan implikasi hukum serta boleh mengheret pemikiran umat Islam ke kancah ekstrimisme dan budaya kafir-mengkafir.
Walhal Malaysia mengamalkan sistem pilihan raya mengikut lunas demokrasi dan menjunjung perlembagaan.
Dalam perlembagaan, Islam telahpun dimaktubkan sebagai agama rasmi.
Jadi kepada para pengundi DUN Ayer Kuning, buatlah pilihan yang bijak dengan mengundi calon BN Dr Yusri Bakir.
Kita ingin memilih seorang wakil rakyat yang boleh menawarkan perkhidmatan terbaik untuk rakyat.
Bukannya memilih seorang ‘mufti politikus’ yang menunggang hukum hakam agama demi kepentingan politik sendiri.
Sheikh Umar Bagharib Ali ialah naib pengerusi DAP Johor.