Inilah hasrat orang Kg Sg Baru, tak mahu lagi lalu sarang penagih

Seorang penduduk Kampung Sungai Baru berkongsi kisah sebenar keadaan kampung itu yang tidak selamat dan sering menjadi sarang penagih dadah, menyebabkan dia mengambil keputusan bersetuju dengan pembangunan semula kawasan tersebut.

Individu itu berkata, dia sejak kecil lagi sudah mendiami flat di Kampung Sungai Baru tidak seperti Rafidah Ibrahim yang sudah pun keluar dari kawasan itu dan berpindah ke tempat lain.

Katanya, walaupun dia bersama majoriti penduduk lain dilabel sebagai pengkhianat, namun sebenarnya dia dan penduduk asal mahu melihat perubahan di kawasan itu.

Dia juga menegaskan, kehadiran Rafidah bukanlah untuk memperjuangkan tanah di sana tetapi lebih kepada tidak berpuas hati kerana menerima pampasan yang kecil.

“(Kami tidak mahu) lagi tinggal di flat yang kotor dan jijik dan penuh dengan penagih dadah.

“Saya membesar dekat situ, kalau nak turun tangga kita akan lalu penagih dadah tengah hisap dadah. Siapa nak tinggal dekat situ dan besarkan anak dia dalam situasi macam itu.

“Rafidah sendiri pun tak nak, itu sebabnya dia pun dah keluar dan tinggal di tempat lain. Tapi bila dah dapat duit (dia rasa) tak cukup sebab nak kena bahagi dengan 10 adik beradik.

“Kemudian dia datang kembali dan tuduh kami bukan bukan. Siapa sebenarnya yang memperjuangkan Kampung Baru ini,” katanya dalam satu perkongsian video di Facebook Hjh Zubaidah Ali.

Kata individu berkenaan, dia dan majoriti penduduk memperjuangkan pembaharuan dan pembangunan Kampung Sungai Baru kerana tidak mahu lagi kawasan itu berada di takuk lama.

Dia juga membidas tindakan Rafidah yang memainkan sentimen Kampung Baru sehingga menggelarnya pengkhianat.

“Rafidah menuduh kita sebagai pengkhianat. Kita telah menggadaikan tanah kampung baru. Mainkan sentimen kampung baru.

“Saya daripada kecil (menetap di flat). Tapi dia dekat mana. Dekat mana dia tinggal. Dan apa perjuangan dia sebenarnya,” katanya lagi.