Ulama Pas ini akhirnya diperintah bayar RM10,000, mohon maaf kepada Rayer di mahkamah
Bayar kos guaman kepada Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer sebanyak RM10,000 iaitu RM5,000 sebelum 24 Mei manakala baki RM5,000 sebelum 24 Jun ini.
Itu merupakan sebahagian daripada syarat penyelesaian saman fitnah yang dilakukan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang dan Ketua Dewan Ulama Pas Pulau Pinang, Fauzi Yusoff semasa berceramah pada tahun 2023.
Pengerusi Pas Kawasan Balik Pulau itu juga mengemukakan permohonan maaf kepada Rayer di Mahkamah Sesyen Georgetown hari ini.
Dalam ceramah ‘PN Best’ di Balik Pulau pada 2 Jun 2023, Fauzi menuduh Rayer sebagai perkauman, sombong, dan tidak bertanggungjawab.
Fauzi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua turut mendakwa Rayer memberitahu kepada mangsa kebakaran di Jelutong, bahawa beliau tidak kisah kehilangan undi orang Melayu dan India.

Menerusi permohonan maaf itu, Fauzi berkata, kenyataan tersebut tanpa menyemak semula dengan penduduk dan orang ramai tentang kesahihan dan ketepatan maklumat disampaikan.
Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang berkenaan juga berkata, dirinya terkhilaf kerana mengambil maklumat lisan daripada beberapa orang yang pada ketika itu berada dalam ‘keadaan beremosi’.
“Oleh yang demikian, untuk tidak memanjangkan perkara ini dan untuk membolehkan pihak-pihak menumpukan kepada perkara yang lebih penting iaitu membangunkan negara dan memastikan kebajikan rakyat khususnya di Pulau Pinang terjaga dalam kapasiti masing-masing, saya dengan ini membuat permohonan maaf secara terbuka dan tanpa syarat kepada YB RSN Rayer,” ujarnya, dipetik FMT.
Permohonan maaf itu direkodkan sebagai sebahagian penghakiman persetujuan di hadapan Hakim Helmi Ghani.
Peguam K Simon Murali dan Kok Yuen Lin mewakili Rayer, manakala Fauzi diwakili Yusfarizal Yusoff.
Sementara itu, Rayer dalam pernyataan tuntutan berkata, kenyataan Fauzi tidak berasas dan menjejaskan reputasinya.
Wakil rakyat DAP berkenaan menuntut ganti rugi dan permohonan maaf terbuka, termasuk dibuat di platform media sosial.
BACA JUGA AI tidak boleh ganti tanggungjawab, kawalan kualiti oleh manusia