PRK Ayer Kuning: Banyak sebab undi BN pilihan terbaik untuk orang Melayu
Oleh AB JALIL BACKER
PRK DUN Ayer Kuning makin panas dengan isu babi. Babi punya hal boleh menukar situasi kedudukan mendahului calon Barisan Nasional (BN).
Sebahagian pengundi berpendapat, kekalahan BN akan memberi wake-up call kepada Menteri Besar untuk menyelesaikan isu tersebut segera sebelum PRU akan datang yang dijangka penghujung 2026.
Bagaimanapun, saya fikir pengundi Melayu perlu memberi sokongan kepada BN kali ini kerana kedudukan BN dalam kerajaan negeri Perak hanya 9 kerusi.
Kekalahan BN secara tidak langsung akan melemahkan kuasa Menteri Besar. PH terutama DAP akan melihat BN sebagai menunggu masa untuk rebah dan pandangan serta keputusan MB mungkin akan dicabar selepas ini.
Jika ada yang berkempen kemenangan PN akan membantu menyelamatkan UMNO atau mendesak UMNO melakukan perubahan, percayalah ia tidak akan mengubah apa-apa status politik di negeri atau pusat.
Berbanding Bersatu yang mengambil isyarat kehilangan sokongan orang Melayu dalam PRK dan sentimen semasa pada tahun 2018-2019 untuk meninggalkan PH dan mengenepikan Tun Dr Mahathir Mohamad, keadaan tersebut tidak akan berlaku kepada UMNO.
Justeru, mengalahkan BN dalam PRK Ayer Kuning tidak akan memberi apa-apa faedah strategik kepada orang Melayu.
Sokongan Melayu
Kekalahan BN akan menyebabkan suara orang Melayu konservatif dan moderate dalam kerajaan akan makin melemah kerana PH akan cuba mendapatkan pasaran pengundi lain dalam tempoh dua tahun akan datang.
Justeru, kemenangan besar BN akan memberi gambaran kepada kerajaan PH bahawa masih ada ruang untuk mendapat sokongan Melayu dalam kelompok ini.
Ia juga akan memberi faedah kepada PN kerana UMNO ada kecenderungan merasa kuat selepas menang PRK seperti mana yang Dr Puad Zarkashi tulis bahawa kemenangan BN akan menoktahkan sebarang pertikaian mengenai kerjasama antara UMNO – DAP.
Oleh itu, bagi pendekatan makro kepentingan Melayu, kemenangan besar BN akan menjaga kepentingan mereka sehingga akhir penggal ini.
Sudah dua kali pilihan raya umum, keputusan PRK dan PRN tidak diterjemahkan dalam PRU kemudiannya.
Jadi, kemenangan BN dalam PRK ini tidak akan menguatkan UMNO atau melemahkan Pas secara holistik.
Bagi PRK Ayer Kuning, ini undi BN adalah pilihan terbaik untuk orang Melayu.