BN bergaya pertahan Ayer Kuning, sah raih majoriti 5,006 undi
Barisan Nasional (BN) melakar kemenangan bergaya sekaligus mempertahankan kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) Ayer Kuning dengan meraih majoriti 5,006 undi.
Calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir, memperoleh 11,065 undi meninggalkan jauh Perikatan Nasional (PN) yang diwakili Abdul Muhaimin Malek dengan hanya mendapat 6,059 undi.
Sementara itu, peguam Bawani KS daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) menerima 1,106 undi dan kehilangan depositnya.
Peratusan mengundi ialah 58.07 peratus daripada keseluruhan 31,893 pengundi dengan membabitkan 19 pusat mengundi daripada 63 saluran.
Keputusan rasmi itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi PRK DUN Ayer Kuning, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori, selepas penjumlahan undi daripada semua saluran selesai.
Dalam pada itu, sebanyak 289 kertas undi ditolak.
Rekod kemenangan besar BN pada PRK DUN Ayer Kuning hari ini menyaksikan peningkatan berbanding majoriti 2,213 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November 2022.
Dalam masa sama, jumlah undi diperoleh PN pula merosot memandangkan pada PRU15, calon blok pembangkang itu mendapat 6,812 undi.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan BN kembali diterima pengundi Melayu luar bandar apabila menguasai beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) seperti Changkat Petai dan Kampung Batu Tiga yang dimiliki PN pada PRU15.
Kekuatan naratif ‘kerajaan stabil dan progresif’ yang dimiliki Kerajaan Perpaduan (BN-PH) dilihat turut memikat hati pengundi muda yang menguasai lebih 40 peratus pemilih berumur antara 18 hingga 39 tahun.
Keputusan Ayer Kuning juga secara tidak langsung adalah petunjuk penting kepada masa depan politik pilihan raya Malaysia menuju PRU-16.
BACA JUGA Tak perlu sakitkan hati, MB Perak seru teruskan politik kasih sayang