Amanah kehilangan petugas pilihan raya yang hebat, Yazid Alias

Amanah kehilangan orang kuat pilihan rayanya, apabila Yazid Alias meninggal malam tadi ketika berusia 65 tahun.

Yazid yang banyak terlibat dalam aktiviti pilihan raya Amanah, sebelum ini Pas, meninggal dunia selepas Maghrib malam tadi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Jenazah Yazid dijangka akan disolatkan jam 11 pagi ini di Masjid Al Ansar, Taman Keramat manakala Tanah Perkuburan Taman Keramat akan menjadi destinasi terakhir perjalanan Allahyarham.

Kematian Allahyarham dimaklumkan ketika BN dan PH mula meraikan kemenangan mereka malam tadi dalam pilihan raya kecil (PRK) Air Kuning, Perak.

“Untuk makluman Ayah kami baru meninggal dunia lepas maghrib tadi di Hospital Kuala Lumpur. (Sabtu,26 April 2025).

“Mohon doakan arwah ayah (Tn Haji A Yazid Alias,65 tahun)

“Untuk urusan solat dan pengubumian akan dimaklum kan kemudian.

“Kemungkinan Solat di Masjid Al Ansar, Taman Keramat dan perkuburan Taman Keramat, Kuala Lumpur,” umum anak Allahyarham malam tadi melalui akaun facebook Yazid sendiri.