Mat Sabu kritik hipokrasi pemimpin dunia di majlis pengebumian Pope Francis
Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu menyindir hipokrasi yang ditunjukkan pemimpin dunia yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang mendiang Paus Francis di Dataran St Peter, Vatican City.
Beliau berkata, kebanyakan mereka berdiri dengan wajah penuh hormat, seolah-olah turut berkongsi nilai perjuangan kemanusiaan yang didokong oleh Pope Francis sepanjang hayatnya.
Namun katanya, ramai antara mereka itulah juga penyokong tegar rejim Zionis Israel.
“Pemimpin yang sama yang berdiri memberi penghormatan kepada seorang pemimpin agama yang lantang menentang kezaliman di Gaza, tetapi dalam masa yang sama terus menyokong atau membisu terhadap kekejaman yang sama.
“Ironi. Itulah kata yang tepat,” katanya di Facebook.
Kata Mohamad, ironi apabila mereka hadir ke majlis penghormatan terakhir, tetapi tidak pernah menghormati seruan Pope Francis agar dunia bangkit menamatkan kekejaman Zionis ke atas rakyat Palestine.
“Inilah wajah sebenar hipokrasi pemimpin-pemimpin utama dunia. Yang semalam kita saksikan dengan mata kepala sendiri.
“Parti Amanah Negara terus berpegang bahawa perjuangan menentang kekejaman Zionis bukan soal agama semata-mata, tetapi soal kemanusiaan.
“Malangnya, pemimpin dunia lebih takut kehilangan kuasa politik berbanding mempertahankan nilai-nilai kemanusiaan,” tegasnya lagi.