Mat Sabu umum awal, Hetty Koes Endang akan nyanyi percuma di majlis beliau

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan penyanyi Indonesia, Ibu Hetty Koes Endang akan hadir ke Majlis Sambutan Aidilfitri 2025 kementerian itu dan mempersembahkan beberapa lagu.

Mohamad berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada sahabatnya itu yang memaklumkan ingin menghadiri majlis hari raya tersebut.

Beliau bagaimanapun memaklumkan lebih awal bahawa Hetty Koes akan membuat persembahan secara percuma dan tidak melibatkan sebarang bayaran.

“Pagi ini, saya menerima panggilan telefon daripada sahabat lama saya, Ibu Hetty Koes Endang, bersama suaminya.

“Dengan penuh rasa hormat dan mesra, mereka menyatakan keinginan untuk hadir memeriahkan Majlis Sambutan Aidilfitri 2025 KPKM.

“Ibu Hetty juga sudi untuk menyumbangkan beberapa buah lagu di majlis tersebut tanpa sebarang bayaran – satu penghargaan yang amat kami hargai,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.

Bercerita lanjut Mohamad berkata, hubungan persahabatan antara keluarga beliau dan Hetty Koes telah terjalin sekian lama.

Katanya setiap kali beliau berkunjung ke Jakarta, rumah penyanyi Indonesia itu akan menjadi tempat persinggahannya.

“Begitu juga apabila beliau berada di Kuala Lumpur, rumah kami pula menjadi tempat beliau bertamu. Begitulah eratnya ukhuwah yang terjalin antara kami sekeluarga,” ujarnya.

BACA JUGA Campur tangan Pas dalam pilihan raya Singapura: Ancaman kepada ASEAN