Nasib JDT sama dengan BN/PH, menang selesa
Nasib pasukan bola dari Johor, JDT, disifatkan sebagai sama dengan nasib Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) apabila menang besar di Air Kuning.
Ia berlaku apabila kedua-duanya menang selesa, JDT dinobatkan juara Piala Malaysia selepas tewaskan Sri Pahang FC 2-1 manakala BN menang selesa dalam pilihan raya kecil.
“Nasib JDT sama dengan PHBN malam ni. Menang Selesa – (IC kita 01 .. sahih),” tulis seorang aktivis PH, Napsiah Khamis Maharan, di facebook beliau yang tular di media sosial.
JDT yang menjadi johan 11 kali berturut-turut Liga Super Malaysia, menyapu bersih semua gelaran domestik untuk dua musim tanpa henti apabila dinobatkan juara Unifi Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Untuk rekod, ini adalah final kelima berturut-turut Harimau Selatan dalam kejohanan paling berprestij itu.
Lebih menarik, JDT berjaya menyamai pencapaian Selangor (1995-1997) dan Kuala Lumpur (1987-1989) dengan melakar hatrik kejuaraan Piala Malaysia dari 2022-2024/2025.
Begitu juga pasukan PH/BN, mereka menang banyak pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum ke 15 lalu.
BN menang di Nenggiri, kemudian Mahkota dan kini menang di Air Kuning.
Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning membuktikan Kerajaan Perpaduan sebagai model terbaik untuk rakyat Malaysia.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) jelas membuahkan hasil apabila BN berjaya merampas semula beberapa pusat daerah mengundi (PDM) yang sebelum ini dimenangi oleh parti lawan.
“Daripada tujuh PDM yang dahulu PH menang dengan majoriti besar, kini kita pula menang dengan majoriti besar.
“Malah, daripada empat PDM yang dimenangi PAS sebelum ini, kita berjaya menawan kembali tiga PDM dan mengurangkan majoriti di satu lagi PDM iaitu Tanjong Keramat,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Merdeka Tapah pada Sabtu malam tadi.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir, menang menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dengan majoriti 5,006 undi.
Asyraf Wajdi berkata, sokongan pengundi berbilang kaum, terutamanya dari kawasan majoriti Tionghoa, membawa mesej bahawa mereka mengutamakan nilai hormat-menghormati, toleransi dan memahami realiti kemajmukan negara.
“Kalau tidak ada keyakinan, kita tidak akan dapat undi melebihi 11,000. Kita juga tidak akan mampu menang di PDM yang majoriti pengundinya adalah kaum Tionghoa,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa rakyat, termasuk orang Melayu, tidak terpengaruh dengan kempen politik kebencian dan cubaan menakut-nakutkan mereka dengan dakwaan Islam dan kedudukan Melayu terancam.