‘Ayer Kuning telah hentikan naratif kerajaan tebuk atap’

Kemenangan Umno-BN di dalam PRK Ayer Kuning telah memberikan pengajaran kepada Perikatan Nasional untuk menghentikan naratif kerajaan tebuk atap yang seringkali diperkatakan oleh pakatan pembangkang di peringkat pusat tersebut.

“Kemenangan besar tiga kali berturut turut UMNO di Nenggiri, Mahkota dan Ayer Kuning adalah “signal” kuat kepada PN. Jangan bermimpi mahu menubuh kerajaan tebuk atap,” kata ahli Majlis Tertinggi Umno dalam satu hantaran di Facebook.

Puad turut menasihatkan pakatan lawan tersebut agar menunggu pilihan raya umum ke-16 atau pilihan raya negeri Sabah sebelum mula bermimpi sekali lagi.

“PRK Ayer Kuning telah mengajar PN jangan bawa cerita dongeng. Rakyat mahu kerajaan stabil. Tunggu sahaja PRU ke 16 atau paling dekat PRN Sabah.”

Di dalam PRK Ayer Kuning, calon Umno-BN, Dr Mohamad Yusri Bakir menumpaskan wakil Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek dan Bawani KS daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Yusri memperoleh 11,065 undi dan majoriti 5,006 undi. Muhaimin memperoleh 6,059 undi manakala Bawani hilang deposit apabila memperoleh 1,106 undi.

Dalam satu hantaran lain yang berkaitan, Puad berhujah bahawa Pas perlu melupakan naratif negara Islam kerana ia menjadi batu penghalang kepada PN untuk memperoleh rakan parti bukan Melayu yang kuat.

“PN khususnya PAS terkesan teruk kerana kalah PRK Air Kuning. Naratif PAS gagal mengulang gelombang hijau PRU 2022. PAS patut lupakan naratif negara Islam.

“Akibatnya PN sukar mencari rakan parti bukan Melayu yang berkesan. Gerakan terlalu kerdil bagi membantu PN. Hingga hari ini PN tidak ada parti orang India macam MIC.”

“PAS adalah halangan besar PN cari rakan komponen berpengaruh. Oleh itu PAS perlu bawa slogan baru yang lebih universal.”

Untuk rekod, masyarakat India di dalam Perikatan Nasional diwakili oleh Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Gerakan mempunyai satu kerusi DUN di Kedah.