Hetty Koes hiburkan tetamu di majlis Aidilfitri KPKM tanpa bayaran, kementerian jimat besar

Majlis Sambutan Aidilfitri 2025 anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjimatkan kira-kira RM100,000 kerana penyanyi tersohor Indonesia, Hetty Koes Endang membuat persembahan nyanyian secara percuma.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu telah membuat penjelasan lebih awal mengenai kehadiran Hetty Koes untuk mengelak terpalit kontroversi sama yang berlaku di majlis rumah terbuka Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini.

Ketika sidang media bersama pemberita hari ini, Mohamad berkata penyanyi tersohor itu hadir dan membuat persembahan percuma sebagai tanda persahabatan mereka sejak sekian lama.

“Kalau nak ambil dia (menyanyi, kena bayar) RM100,000. Tapi dia beri khidmat percuma di atas sahabat saya dengan dia dan isteri saya kenal dengan dia.

“Dia kebetulan nak datang bercuti ke Langkawi, maka dia sedia untuk singgah di sini dan memberi persembahan percuma. Kalau kita nak bayar, kita tak akan mampulah bayar, sebab dia taraf profesional,” katanya hari ini.

Kemunculan Hetty Koes mendapat perhatian dan sambutan yang meriah apabila beliau mendendangkan tiga buah lagu termasuk lagu popular beliau seperti Tak Ingin Sendiri, Tradisi Hari Raya, dan Berdiri Bulu Romaku.

Sebelum ini Mohamad berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada Hetty yang memaklumkan ingin menghadiri majlis hari raya tersebut.

.