Liverpool dinobat juara EPL kali ke-20, penyokong Malaysia meriahkan media sosial

FOTO BERITA: Walaupun musim Liga Perdana Inggeris (EPL) masih berbaki empat perlawanan, Liverpool secara rasmi telah dinobatkan sebagai juara untuk kali ke-20, mencetuskan kegembiraan luar biasa dalam kalangan penyokong mereka di seluruh dunia, termasuk di Malaysia. (Foto: FB Hussin Jan)

Hussin Jan, salah seorang penyokong tegar Liverpool dari Malaysia, menyuarakan rasa bangganya atas kejayaan ini. Menurutnya, suasana di media sosial semakin meriah dengan ucapan tahniah dan gurauan mesra antara penyokong.

“Saya lihat ada rakan-rakan di Facebook yang bergurau nak tutup akaun, buat provokasi murahan sebab tak sanggup tengok posting penyokong Liverpool. Tapi semua itu sekadar gurauan mesra. Cuma ada lah dua tiga orang yang nampaknya macam kena ‘anxiety’ sebab Liverpool juara EPL. Nama mereka saya rahsiakan,” katanya sambil ketawa.

Berbeza dengan beberapa insiden melibatkan penyokong bola sepak tempatan yang kadang-kadang bergaduh seperti “budak-budak berebut aiskrim” di luar Stadium Nasional Bukit Jalil, Hussin memuji kematangan penyokong Liverpool dalam meraikan kejayaan ini.

“Tak macam sesetengah penyokong baru yang mungkin baru tahu bola itu bulat, bukan bujur macam bola ragbi. Penyokong Liverpool meraikan dengan cara yang lebih santai dan berhemah,” tambahnya.

Dengan semangat #YNWAFOREVER (You’ll Never Walk Alone), Hussin dan ribuan penyokong Liverpool lain di Malaysia terus membuktikan bahawa cinta mereka terhadap kelab itu tidak pernah luntur, walau apa jua cabaran yang mendatang.
